Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang dia (masih belum wujud lagi dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)? (1)
Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia
bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan),
serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami
jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat. (2)
(Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah
menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan
yang salah; maka terserahlah kepadanya) samada dia bersyukur (dengan beriman
dan taat), ataupun dia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau
menderhaka). (3)
(Dalam pada itu), sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi
sesiapa yang berlaku kufur (atau menderhaka): Beberapa rantai dan belenggu
serta Neraka yang menjulang-julang. (4)
Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan
kebajikan), akan meminum dari piala: Sejenis minuman yang bercampur dengan
"Kafur". (5)
Iaitu sebuah mata air (di Syurga), yang diminum daripadanya
oleh hamba-hamba Allah (yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di
tempat-tempat tinggal mereka) dengan aliran yang semudah-mudahnya dan menurut
kemahuannya. (6)
(Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan
nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan
hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini. (7)
Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan
disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (8)
(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): Sesungguhnya kami
memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan
sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, (9)
Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Dia kenakan kami
azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: Masam berkerut-kerut.
(10)
Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka
Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta
memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka) dan perasaan ria
gembira (di hati). (11)
Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan
meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan
(persalinan dari) sutera. (12)
Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas
pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari
(usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk;
(13)
Sedang naungan pohon-pohon Syurga itu dekat kepada mereka dan
buah-buahannya pula dimudahkan (untuk mereka memetiknya) dengan
semudah-mudahnya. (14)
Dan (selain itu) diedarkan kepada mereka (oleh
pelayan-pelayannya): Bejana dari perak dan piala-piala minuman yang keadaannya
laksana kaca (nampak jelas isinya). (15)
(Keadaannya laksana) kaca, (sedang ia) dari perak;
pelayan-pelayan itu menentukan kadar isinya sekadar yang cukup betul dengan
kehendak penggunanya. (16)
Dan mereka dalam Syurga itu, diberi minum sejenis minuman yang
campurannya dari "Zanjabil", (17)
Iaitu sebuah mata air dalam Syurga, yang disebutkan sifatnya
sebagai "Salsabil". (18)
Dan mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal
(dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka; apabila
engkau melihat anak-anak muda itu, nescaya engkau menyangkanya mutiara yang
bertaburan. (19)
Dan apabila engkau melihat di sana (dalam Syurga itu), engkau
melihat nikmat yang melimpah-limpah dan kerajaan yang besar (yang tidak ada
bandingannya). (20)
Mereka di dalam Syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari
sutera halus dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan
gelang-gelang tangan dari perak dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka
dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih suci. (21)
(Serta dikatakan kepada mereka): Sesungguhnya (segala pemberian)
ini adalah untuk kamu sebagai balasan dan adalah usaha amal kamu (di dunia
dahulu) diterima dan dihargai (oleh Allah). (22)
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai
Muhammad), dengan beransur-ansur. (23)
Oleh itu hendaklah engkau bersabar menerima hukum Tuhanmu (memberi
tempoh kepada golongan yang menentangmu) dan janganlah engkau menurut kehendak
orang yang berdosa di antara mereka atau orang yang kufur ingkar. (24)
Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar sembahyang), pada waktu pagi dan petang; (25)
Dan (dengan apa keadaan pun maka) pada sebahagian dari waktu
malam sujudlah kepada Tuhan (dengan mengerjakan sembahyang) dan
(seboleh-bolehnya) bertasbihlah memujiNya (dengan mengerjakan sembahyang
Tahajud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam. (26)
Sesungguhnya orang-orang (yang menentangmu) itu sentiasa mencintai
(kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya, serta mereka membelakangkan
(tidak menghiraukan bekalan) untuk hari akhirat yang amat berat (penderitaannya
kepada orang-orang yang tidak bertakwa). (27)
Kamilah yang menciptakan mereka serta menguatkan tulang sendi dan
urat saraf mereka; (Kami berkuasa membinasakan mereka) dan apabila Kami
kehendaki, Kami gantikan (mereka dengan) orang-orang yang serupa dengan mereka,
dengan penggantian yang sebaik-baiknya. (28)
Sesungguhnya (segala keterangan yang disebutkan) ini,
menjadi peringatan; maka sesiapa yang mahukan (kebaikan dirinya) bolehlah dia
mengambil jalan yang menyampaikan kepada keredaan Allah (dengan iman dan taat).
(29)
Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara)
melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui,
lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya).
(30)
Dia memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan
yang ditetapkan) ke dalam rahmatNya (dengan ditempatkannya di dalam Syurga) dan
orang-orang yang zalim, Dia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak
terperi sakitnya. (31)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.