Pages

20110807

KISAH NERAKA: MAKANAN DARI NERAKA (BUAH ZAQQUM)

Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia (dengan ilmuNya dan kekuasaanNya; dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau. (Al-Israa' 17:60)

Manakah yang lebih baik, limpah kurniaan yang termaklum itu atau pokok zaqqum? (As-Saaffaat 37:62) Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka di akhirat). (As-Saaffaat 37:63) Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang; (As-Saaffaat 37:64) Buahnya seolah-olah kepala Syaitan-syaitan; (As-Saaffaat 37:65) Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk), sehingga mereka memenuhi perut darinya. (As-Saaffaat 37:66) Kemudian, sesungguhnya mereka akan beroleh lagi satu minuman campuran dari air panas yang menggelegak. (As-Saaffaat 37:67) Setelah (mereka dibawa minum) maka tempat kembali mereka tetaplah ke dalam neraka yang menjulang-julang. (As-Saaffaat 37:68)

(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum, - (Ad-Dukhaan 44:43) (Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka). (Ad-Dukhaan 44:44) (Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, (Ad-Dukhaan 44:45) Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya. (Ad-Dukhaan 44:46)

"Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat), (Al-Waaqi'ah 56:51) Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum, (Al-Waaqi'ah 56:52) "Maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu, (Al-Waaqi'ah 56:53) "Selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak, (Al-Waaqi'ah 56:54) "Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas." (Al-Waaqi'ah 56:55) Inilah (jenis-jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari Pembalasan itu. (Al-Waaqi'ah 56:56) Kamilah yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada wahai golongan yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya (akan kebangkitan kamu hidup semula pada hari kiamat). (Al-Waaqi'ah 56:57)

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika satu titis dari zakkum itu dilepaskan ke dunia, maka seluruh kehidupan penghuni dunia akan hancur, bagaimana halnya dengan orang yang menjadikan zaqqum itu makanannya? ” (Riwayat Ahmad)


Dari Ibn Abbas ra., bahawa Rasulullah s.a.w., telah membaca (firman Allah dalam ayat suci ini, ertinya: "Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan kamu berkeadaan Islam"); kemudian Nabi s.a.w., bersabda: "Kalaulah setitik air buah zaqqum itu menitik ke dalam dunia ini nescaya ia merosakkan penghidupan penduduk bumi, maka betapa halnya orang yang buah zaqqum itu menjadi makanannya." (At-Tirmizi)

Mayangnya menyerupai seperti kepala syaitan.
Tumbuh di bawah dasar neraka.
Ia mengandungi kandungan kotoran minyak yang mendidih di dalam perut pemakannya.
Mereka akan memakan sehingga penuh perutnya.
Selepas memakannya mereka akan meminum air yang sangat panas dan mereka minum seperti unta yang sangat kehausan.
Air panas itu akan meleraikan isi perut pemakannya. 
_________
Semoga menjadi peringatan buat kita semua, Na'u Zubillah semoga kita terhindar dari azab neraka. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.