Pages

20110808

KISAH NERAKA: MINUMAN DALAM NERAKA

Dan (Rasul-rasul serta umatnya yang beriman) memohon pertolongan (kepada Allah, untuk mendapat kemenangan); dan terkecewalah tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi bersikap degil (dalam keingkarannya). (Ibrahim 14:15) Di belakangnya disediakan neraka Jahannam, dan ia akan diberi minum dari air danur (yang keluar dari tubuh ahli neraka). (Ibrahim 14:16) Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya), dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati (supaya terlepas dari azab seksa itu); dan selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat. (Ibrahim 14:17)


Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran. (Al-Kahfi 18:28) Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya". Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang. (Al-Kahfi 18:29)

 Kemudian, sesungguhnya mereka akan beroleh lagi (selain itu) satu minuman campuran dari air panas yang menggelegak. (As-Saaffaat 37:67) Setelah (mereka dibawa minum) maka tempat kembali mereka tetaplah ke dalam neraka yang menjulang-julang. (As-Saaffaat 37:68)

 Nikmat-nikmat ini (adalah untuk orang-orang yang bertaqwa). Dan Bahawa sesungguhnya bagi orang-orang yang zalim (dengan kekufuran atau kederhakaannya) seburuk-buruk tempat kembali, (Saad 38:55) Iaitu neraka Jahannam yang mereka akan menderita bakarannya; maka seburuk-buruk tempat menetap ialah neraka Jahannam; (Saad 38:56) Ini sejenis azab seksa, maka hendaklah mereka merasainya, air panas yang menggelegak dan air danur yang mengalir (untuk minuman mereka); (Saad 38:57) Dan azab seksa yang lain, yang serupa buruknya dan dahsyatnya adalah berbagai jenis lagi. (Saad 38:58) (Penjaga neraka berkata kepada ketua-ketua golongan kafir dan penderhaka itu): " Ini ialah serombongan (orang-orang kamu) yang masuk berasak-asak bersama-sama kamu ". (Ketua-ketua itu berkata): " Mereka tidak perlu dialu-alukan, kerana sesungguhnya mereka pun akan menderita bakaran neraka ". (Saad 38:59) pengikut-pengikut mereka menjawab: " Bahkan kamulah yang tidak perlu dialu-alukan, kerana kamulah yang membawa azab sengsara ini kepada kami, maka amatlah buruknya neraka ini sebagai tempat penetapan ". (Saad 38:60) Mereka berkata lagi: " Wahai Tuhan kami! Sesiapa yang membawa azab ini kepada kami, maka tambahilah dia azab seksa berlipat ganda di dalam neraka ". (Saad 38:61) Dan penduduk neraka itu tetap akan bertanya sesama sendiri: " Mengapa kita tidak melihat orang-orang yang dahulu kita kirakan mereka sebagai orang-orang jahat (lagi hina)? (Saad 38:62) " Adakah kita sahaja jadikan mereka ejek-ejekan (sedang mereka orang-orang yang benar)? Atau mata kita tidak dapat melihat mereka? (Saad 38:63) Sesungguhnya (segala yang diterangkan) itu adalah benar iaitu perbalahan dan cercaan penduduk neraka sesama sendiri. (Saad 38:64)


Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama)!  (Muhammad 47:15)

 (Lalu dikatakan kepada mereka): "Inilah neraka Jahannam yang selalu orang-orang yang berdosa mendustakannya". (Ar-Rahmaan 55:43) Mereka (terus diseksa) berulang-ulang di antara api neraka dengan air yang menggelegak yang cukup masak panasnya! (Ar-Rahmaan 55:44) Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:45)

 "Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat), (Al-Waaqi'ah 56:51) Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum, (Al-Waaqi'ah 56:52) "Maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu, (Al-Waaqi'ah 56:53) "Selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak, (Al-Waaqi'ah 56:54) "Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas". (Al-Waaqi'ah 56:55) Inilah (jenis-jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari Pembalasan itu. (Al-Waaqi'ah 56:56)

 "Maka pada hari ini, tidak ada baginya di sini (seorangpun dari) kaum kerabat serta sahabat handai (yang dapat menolongnya), (Al-Haaqqah 69:35) "Dan tidak ada makanan (baginya) melainkan dari air danur, (Al-Haaqqah 69:36)  "Yang tidak memakannya melainkan orang-orang yang melakukan perkara yang salah". (Al-Haaqqah 69:37)

 Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya, dan tidak pula sebarang minuman (An-Naba' 78:24) Kecuali air panas yang menggelegak, dan air danur yang mengalir, (An-Naba' 78:25) Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk). (An-Naba' 78:26) Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal, (An-Naba' 78:27)


_________
Semoga menjadi peringatan buat kita semua, Na'u Zubillah semoga kita terhindar dari azab neraka. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.