Pages

20131219

HATI (6)



Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Bacalah (Quran): 'Seandainya kamu berkuasa, apakah kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan (kasih sayang)? Mereka itulah orang-orang yang dikutuk Allah dan ditulikanNya telinga mereka dan dibutakanNya penglihatan mereka. Maka apakah mereka tidak memperhatikan Quran, ataukah hati mereka telah terkunci?" (Muhammad, 47: 22-24) (Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2184).

Dari Ahu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Allah 'Azza wa Jalla berfirman: Aku sentiasa menurut sangka hamba-Ku kepadaKu, dan Aku sentiasa bersamanya ketika dia menyebut namaKu. Jika dia menyebut namaKu dalam hatinya, maka Aku menyebutnya pula dalam hatiKu. Dan jika dia menyebut Ku dalam majlis ramai, maka Aku menyebutnya dalam majlis ramai yang lebih baik. Jika dia mendekati Ku sejengkal, Aku mendekatinya sehasta. Dan jika dia mendekati-u sehasta. Aku mendekatinya sedepa. Jika dia datang kepadaKu berjalan kaki, Aku mendatanginya dengan berlari." (Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2300).

Dari Anas r.a. katanya: Saya mendengar Nabi saw. bersabda: "Apabila telah terjadi kiamat, aku diberi hak untuk menolong. Lalu aku memohon: "Ya Tuhan ku! Masukkanlah ke dalam syurga orang yang dalam hatinya ada (iman) sebesar biji sawi!" Lalu mereka masuk syurga. Kemudian itu aku bermohon lagi: "Masukkanlah ke dalam syurga orang yang ada dalam hatinya (keimanan) biarpun sangat kecil." Kata Anas: "Seolah-olah saya melihat anak jari Rasulullah saw. (menggambarkan kecilnya)." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 2020).

Dari Jabir r.a.. katanya: "Pada suatu ketika Rasulullah saw. mengutus ku untuk suatu keperluan, lalu saya pergi. Setelah selesai melaksanakan tugas itu, maka aku datang kembali kepada beliau. Lantas aku mengucapkan salam, tetapi beliau tidak menjawab. Oleh kerana itu timbul dugaan di hatiku, Allah sajalah Yang Maha Tahu. Aku berkata kepada diri ku, "Barangkali Rasulullah saw. marah kepada ku kerana aku datang terlambat. Kemudian aku memberi salam kembali, namun beliau tidak menjawab juga. Prasangka di hatiku bertambah dari semula. Kemudian aku memberi salam lagi, lalu beliau menjawab salamku itu. Sabda beliau, "Aku terhalang menjawab salammu, kerana aku sedang solat." Waktu itu beliau solat di atas kenderaan, tidak menghadap kiblat." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0639).

Dari Jabir r.a., katanya dia mendengar Nabi saw. bersabda: "Apabila ada di antara kamu yang tergoda hatinya kepada seorang wanita, maka hendaklah dia pulang kepada isterinya untuk melepaskan rasa rindunya. Sesungguhnya yang demikian itu dapat menenteramkan gejolak hatinya." (Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1323).


Dari Amru bin Taghlib r.a. katanya: Dibawa kepada Nabi saw. harta, lalu beliau beri suatu kaum, sedang yang lain tidak beliau beri. Kemudian sampai kepada beliau, bahawa ada orang yang mencela. Lalu beliau bersabda: "Sesungguhnya ada orang yang aku beri dan ada yang tidak ku beri, sedang yang tidak ku beri itu lebih ku cintai dari orang yang ku beri. Aku beri kaum kerana mereka dalam hatinya ada perasaan keluh kesah dan loba, sedang kaum (yang tidak aku beri) ku serahkan kepada kekayaan dan kebaikan yang telah diadakan Allah dalam hati mereka, di antaranya Amru bin Taghlib." Kata Amru: "Saya tiada menyukai perkataan Rasulullah itu diganti dengan memperoleh binatang ternak." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 2022).

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta mu, tetapi Allah melihat kepada hati dan amalmu." (Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2194).

Dari Abu Hurairah r.a., katanya para sahabat datang kepada Rasulullah saw. lalu mereka bertanya: "Kami merasakan di dalam hati kami suatu waswas yang amat berat bagi kami menuturkannya." Jawab Rasulullah saw., "Sesungguhnyakah itu?" Kata mereka, "Ya, sesungguhnya." Jawab Rasulullah saw., "Yang demikian itu ialah suatu tanda bagi iman yang sempurna." (Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0106).

Dari Abu Salamah bin Abdurrahman r.a., ia bertanya kepada 'Aisyah r.a. tentang bagaimana caranya Nabi saw. solat pada bulan Ramadhan. Jawab 'Aisyah, "Rasulullah tidak pernah menambah solatnya di bulan Ramadhan dan tidak pula di bulan lainnya, atas sebelas rakaat. Mula-mula beliau solat empat rakaat, tetapi janganlah ditanya tentang kebagusan panjangnya solat beliau itu. Kemudian beliau solat empat rakaat lagi, dan janganlah ditanya pula bagaimana bagus dan lamanya. Kemudian beliau solat tiga rakaat. Kata 'Aisyah, aku bertanya kepada Rasulullah, "Ya, Rasulullah! Apakah Tuan tidur sebelum solat Witir?" Jawab Nabi saw., "Wahai, 'Aisyah! Hanya mata ku saja yang tidur, tetapi hatiku tidak." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0604).

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Janganlah kamu minta-minta bertemu dengan musuh. Tetapi bila kamu bertemu dengan mereka, maka teguhkanlah hatimu!" (Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1723).

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak akan ambil peduli terhadap umat ku, selama yang berbicara hanya hatinya, tetapi belum diucapkannya atau belum dilaksanakannya." (Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0101).

Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Tiada boleh iri hati selain dalam dua hal:

  1. Orang yang diberi Allah pengetahuan tentang Quran, lalu dibacanya di waktu malam dan siang. Lalu dia mengatakan: Kalau kiranya saya diberi serupa yang diberikan kepada orang itu, nescaya saya akan berbuat sebagaimana yang diperbuatnya."
  2. Orang yang diberi Allah harta, lalu dinafkahkannya harta itu menurut mestinya. Lalu dia mengatakan: "Kalau kiranya diberikannya kepada saya serupa yang diberikan kepada orang itu, saya akan memperbuat pula sebagaimana yang diperbuatnya." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1932).
Diceritakan oleh Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Apabila seseorang kamu solat (jadi imam), hendaklah meringkaskannya, kerana di antara makmum, ada orang yang lemah, orang sakit, dan orang tua. Dan apabila dia solat sendirian, panjangkanlah sekehendak hatinya." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0396).

Sumber hadis: http://sigir.uitm.edu.my/webhadis/

20131217

HATI (5)



Dari 'Uqbah bin 'Amr dan Abu Masuud r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. menunjuk dengan tangan beliau ke jurusan Yaman, sambil bersabda: "Iman, bangsa Yaman di sana. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya kekerasan dan kekasaran hati itu terdapat pada orang-orang yang berteriak-teriak dekat ekor unta (orang penghalau unta) dan timbul pengikut-pengikut syaitan pada suku Rabiaah dan Mudhar". (Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1461).

Dari Hakim bin Hizam r.a., katanya dia meminta sedekah kepada Nabi saw., lalu diberi oleh beliau. Kemudian dimintanya lagi lalu diberi pula oleh beliau. Kemudian dimintanya lagi, lalu diberi pula oleh beliau: Kemudian beliau bersabda: "Harta itu lazat dan manis. Maka siapa menerimanya dengan hati bersih (tidak rakus atau serakah), dia akan mendapat berkat dengan harta itu. Tetapi siapa yang menerimanya dengan nafsu serakah, dia tidak akan mendapat berkat dengan harta itu; dia akan seperti orang makan yang tidak pernah merasa kenyang. Dan tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0993).

Dari Mu'aWiyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Janganlah kamu pergi meminta-minta. Demi Allah! Tidak seorang jua pun yang meminta kepada ku, yang tidak ku penuhi permintaannya. Tetapi, seorang yang ku beri dengan
hati enggan, maka pemberian itu tidak berkat baginya." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0996).

Dari Mu'awiyah r.a., katanya: "Hindarilah hadis-hadis palsu, kecuali hadis-hadis pada masa Umar bin Khaththab. Sesungguhnya Umar sangat ditakuti orang mengenai hukum-hukum Allah, apalagi mengenai hadis-hadis palsu, (kerana tindakannya tegas). Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda : "Siapa yang dikehendaki Allah menjadi (orang) baik, maka diberi-Nya orang itu pengetahuan yang dalam tentang agama." Dan aku mendengar pula Rasulullah saw. bersabda: "Aku ini adalah seorang bendahara. Maka siapa yang kuberi (sedekah) dan diterimanya dengan hati bersih, maka dia akan beroleh berkat dari harta itu. Tetapi siapa yang kuberi kerana meminta-minta dan rakus, maka dia seperti orang makan yang tak pernah kenyang." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0995).

Dari Malik bin Sha'sha'ah r.a., seorang pemimpin dalam kaumnya, katanya Nabi saw. bersabda: "Ketika aku sedang berbaring di tempat tidur dalam keadaan antara tidur dan bangun, tiba-tiba aku mendengar seseorang berbicara, lalu dia mendatangi dan membawa ku pergi. Kemudian aku dibawakannya sebuah bejana emas berisi air zamzam, lalu dibelahnya dadaku dari sini hingga ke sini. Tanya Qatadah, "Hingga mana dibelahnya?" Jawabnya, "Hingga bawah perutnya." Lalu dikeluarkannya hatiku, dan dibersihkannya dengan air zamzam. Sesudah itu diisinya dengan iman dan hikmah. Kemudian aku dibawakannya seekor binatang berwarna putih yang disebut Buraq', lebih besar dari keldai tetapi lebih kecil dari baghal. Apabila binatang itu melompat, maka lompatannya sejauh mata memandang. Lalu aku dinaikkannya ke punggung binatang itu, dan sesudah itu kami pergi hingga sampai ke langit dunia. Lalu Jibril a.s. minta supaya dibukakan pintu. Dia ditanya, "Siapa itu?" Jawab Jibril, "Aku Jibril!" Tanya: "Siapa bersama Anda?" Jawab: "Muhammad saw.!" Tanya: "Apakah dia sudah diutus?" Jawab : "Ya, sudah!" Sesudah itu barulah penjaga membukakan pintu untuk kami seraya berkata, "Selamat datang tetamu agung!" Kata Nabi saw. selanjutnya, "Kemudian kami bertemu dengan Adam a.s., sesudah itu di langit kedua dengan Isa dan Yahya a.s., di langit ketiga dengan Yusuf, keempat dengan Idris, dan di langit kelima dengan Harun a.s. Kami terus juga pergi, hingga sampai ke langit keenam. Di sana kami bertemu dengan Musa a.s. Aku memberi salam kepadanya, dan dia menjawab salamku pula. "Selamat datang saudara yang saleh dan Nabi yang saleh," ujarnya. Ketika aku telah berlalu daripadanya, dia menangis. Lalu dia ditanya oleh suara yang didengar, "Kenapa Anda menangis?" Jawab Musa a.s., "Ya Allah, Engkau mengutus anak ini menjadi Rasul sesudahku. Tetapi umatnya lebih banyak yang masuk syurga daripada umatku." Kemudian kami pergi pula, hingga sampai ke langit ketujuh. Di sana aku bertemu dengan Ibrahim a.s., dan melihat empat buah sungai yang dua sumbernya kelihatan dan yang dua lagi tidak kelihatan. Aku bertanya, "Ya, Jibril! Sungai apakah ini?" Jawab Jibril, "Dua sungai yang tidak kelihatan sumbernya ialah dari syurga, sedangkan dua lagi yang kelihatan sumbernya, ialah sungai Nil dan sungai Furat." Kemudian aku dibawa naik ke Baitul Ma'mur. Aku bertanya kepada Jibril, "Apa ini?" Jawab Jibril, "Ini Baitul Ma'mur. Setiap hari 70,000 malaikat masuk ke dalam, dan apabila mereka keluar mereka tidak akan kembali lagi ke dalam untuk selama-lamanya." Kemudian aku diberi dua buah bejana, yang satu berisi khamar dan satu lagi berisi susu. Tetapi aku justeru memilih susu. Katanya, "Pilihan anda sungguh tepat!" Kemudian diwajibkan kepada ku solat 50 kali sehari semalam sebagaimana telah diceritakan. (Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0138).

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Hati seorang orang tua tetap muda dalam hal mencintai dua perkara. Iaitu: dalam hal mencintai hidup dan harta benda." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1007).

Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Allah mengasihi orang yang murah hati ketika menjual, ketika membeli dan ketika menagih.” (Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1020).

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang berkeras hati melaksanakan sumpahnya, padahal membahayakan bagi keluarganya, maka tindakan orang itu lebih besar dosanya di sisi Allah daripada dia membayar denda yang diwajibkan Allah." (Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1642).

Berita dari Abu Hurairah r.a., mengatakan, bahawa: Rasulullah saw. bersabda: "Apabila diserukan azan untuk solat, maka larilah segala syaitan terbirit-birit dengan kentutnya hingga tak terdengar lagi olehnya azan. Setelah selesai azan, dia datang pula kembali. Kemudian, apabila orang qamat, dia lari pula, dan setelah qamat selesai, dia datang kembali hendak menggoda hati setiap orang. Katanya, "Ingatlah ini dan itu." Iaitu hal-hal yang belum pernah diingat orang itu, sehingga dia lupa, telah berapa rakaat dia solat? (Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0344).

Sumber Hadis: http://sigir.uitm.edu.my/webhadis/

20131216

HATI (4)

Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a., katanya: "Ketika Sa'ad bin 'Ubadah jatuh sakit, Rasulullah saw. datang mengunjunginya bersama-sama dengan 'Abdurrahman bin 'Auf, Sa'ad bin Abi Waqqash dan 'Abdullah bin Mas'ud: Ketika Nabi masuk ke rumahnya, didapatinya Sa'ad sedang pengsan. Nabi saw. bertanya, "Apakah sudah meninggal?" Jawab mereka, "Belum, ya Rasulullah!" Rasulullah saw. menangis. Melihat beliau menangis, maka orang banyak pun menangis pula. Kemudian beliau bersabda, "Tahukah kamu, sesungguhnya Allah tidak menyeksa seseorang kerana menangis, dan tidak pula kerana bersedih hati. Tetapi Allah menyeksa kerana ini, sambil beliau menunjuk lidahnya - atau memberi rahmat kerananya." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0871).

Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya,Rasulullah saw pernah bersabda: "Aku diberi Allah swt. lima perkara yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorang pun dari Nabi-nabi sebelumku:
  1. Aku dimenangkan Allah swt. dengan menggentarkan hati musuh-musuhku sejauh sebulan perjalanan (sebelum aku berhadapan dengannya). 
  2. Bumi dijadikan bagi ku sebagai tempat solat (masjid) dan sebagai alat untuk bersuci (yaitu tayammum); kerana itu di mana saja umat ku mendapatkan waktu solat maka hendaklah ia solat ketika itu juga. 
  3. Dihalalkan bagi ku harta rampasan perang. 
  4. Nabi-nabi sebelumku diutus khusus untuk kaumnya saja, sedangkan aku diutus untuk manusia seluruhnya, dan 
  5. Diberikan Allah kepada ku Syafaat (pertolongan dan perlindungan)." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0261).
Dari 'Itban bin Malik r.a, katanya: "Aku ditimpa musibah, iaitu mata ku buta. Kerana itu aku mengutus seseorang mengundang Rasulullah saw., semoga beliau sudi solat di rumah ku: di mana kemudian tempat solat beliau itu ku jadikan tempat solat ku. Kata 'Itban melanjutkan, "Nabi saw. datang beserta beberapa orang sahabat. Beliau masuk ke rumah ku lalu solat; sedangkan para sahabat bercakap-cakap sesama mereka, yang akhirnya sampai kepada perihal Malik bin Dukhsyum. Kata mereka, "Alangkah besar dosanya Malik bin Dukhsyum." Mereka ingin kiranya Rasulullah saw. mendoakannya supaya dia celaka ditimpa suatu malapetaka." Setelah Rasulullah saw. selesai solat, beliau bertanya, "Bukankah dia telah mengucapkan syahadat, bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, dan bahawa aku Rasulullah?" Jawab mereka, "Dia mengucapkannya tidak dari hatinya." Sabda Rasulullah saw., "Tidak seorang jua pun yang mengucapkan syahadat, bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, dan bahawa aku Rasulullah, yang masuk neraka atau dimakan api neraka." Kata Anas, "Hadis ini sangat mengagumkan ku. Kerana itu ku suruh anak ku menuliskannya, lalu dituliskannya." (Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0029).

Dari Sulaiman bin Buraidah r.a., bapanya menceritakan bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Kehormatan isteri para pejuang, bagi orang-orang yang tidak turut berperang, sama dengan kehormatan ibu mereka sendiri. Apabila orang yang mengurus/menjaga keselamatan dan keamanan keluarga para pejuang mengkhianati mereka, dia akan diadili nanti di hari kiamat, lalu pahala amalnya diambil oleh orang yang dikhianatinya sesuka hatinya. Bagaimana tanggapanmu?" (Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1850).

Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., bahawasanya Nabi saw. bersabda: "Zaman dahulu ada seorang pembunuh yang telah membunuh korbannya 99 orang. Lalu dia bertanya kepada penduduk negeri, "Siapa ulama yang paling alim di negeri ini?" Maka ditunjukkan orang seorang rahib (pendeta Yahudi). Lalu didatangi rahib itu seraya mengatakan bahawa dia telah membunuh 99 orang. Kemudian dia bertanya apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? Jawab Rahib: "Tidak!" Maka dibunuhnya rahib itu, dan genaplah korban pembunuhannya 100 orang. Kemudian dia bertanya pula kepada penduduk; "Siapa ulama di negeri ini?" Maka ditunjukkan orang kepadanya seorang ulama yang alim. Dia menceritakan kepada orang alim itu bahawa dia telah membunuh korbannya 100 orang. Kemudian bertanya apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? Jawab ulama, "Ya, sudah tentu. Pintu taubat selamanya tidak pernah tertutup. Siapa yang sanggup menutup pintu taubat bagi anda. Pergilah anda ke negeri anu, kerana di sana penduduknya menyembah Allah. Sembahlah Allah bersama-sama dengan mereka dan jangan kembali lagi ke negeri anda, kerana negeri anda telah rosak." Maka pergilah orang itu ke negeri yang ditunjuk oleh ulama. Setengah perjalanan tiba-tiba orang itu meninggal. Maka bertengkarlah malaikat rahmat dengan malaikat 'adzab. Kata malaikat rahmat, "Orang ini telah taubat dan dia sedang menghadap dengan hati yang taubat itu kepada Allah Ta'ala." Kata malaikat 'adzab, "Dia belum pernah melakukan kebaikan sedikit jua pun." Tiba-tiba datang seorang malaikat dengan rupa manusia, lalu dia berdiri di tengah-tengah mereka seraya berkata, "Ukurlah jarak kedua negeri itu, ke mana yang lebih dekat bawalah dia ke situ." Setelah diukur ternyata yang lebih dekat ialah negeri yang di tujunya. Maka dibawalah dia oleh malaikat rahmat." (Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2372).

Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Saya bertanya: "Ya Rasulullah! Siapakah orang yang amat beruntung mendapat pertolongan engkau di hari kiamat?" Beliau menjawab: "Sesungguhnya aku menduga, hai Abu Hurairah, belum pernah ada seseorang pun yang bertanya sebelum engkau tentang ini, kerana ku lihat engkau seperti berhasrat untuk memperoleh keterangan (pengetahuan). Orang yang paling beruntung mendapat pertolonganku di hari kiamat ialah orang yang mengucapkan "La ilaha iillallah" (tiada yang disembah selain Allah) dengan ikhlas dari hatinya." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1768).

Aswad r.a. bercerita: "Pada suatu kali kami berada dekat Aisyah r.a., lalu kami berbincangkan masalah menetapi solat berjemaah dan memuliakannya. Kata 'Aisyah, "Ketika Rasulullah saw. sedang solat keras menjelang akhir hayat beliau, waktu solat tiba dan orang pun telah azan; maka berkata beliau, "Suruhlah Abu Bakar supaya dia mengimami solat berjemaah dengan orang banyak." Dijawab orang, "Abu Bakar seorang penyedih hati. Kalaulah dia yang menggantikan anda, dia tidak akan sanggup solat menjadi imam bagi orang banyak." Rasulullah mengulangi perintahnya sampai tiga kali, tetapi orang itu mengulangi jawabnya pula hingga tiga kali. Akhirnya Rasulullah saw. bersabda: "Kamu semua (wanita) sahabat-sahabat Yusuf. Suruhlah Abu Bakar solat dengan orang banyak!" Abu Bakar datang, dia solat menjadi imam bagi orang banyak. Ketika Nabi merasa agak ringan penyakitnya, beliau datang ke masjid dengan dipapah oleh dua orang (Abbas dan Ali). Seolah-olah masih kelihatan olehku bagaimana Nabi mengheret kakinya kerana sakit. Dan Abu Bakar hendak undur ke belakang. Tetapi diisyaratkan oleh Nabi kepadanya supaya dia tetap di tempatnya. Kemudian beliau dipapah/didudukkan orang di dekat Abu Bakar." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0380).

Sumber Hadis: http://sigir.uitm.edu.my/webhadis/