Dari
Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apakah tidak menarik hatimu,
bagaimana Tuhan menghindarkan daripada ku caci maki dan kutukan orang Quraisy.
Mereka mencaci maki dan mengutuk orang yang tercela, sedang aku orang yang
terpuji (Muhammad)." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1531).
Dari
Usamah bin Zaid r.a, katanya: "Pada
suatu hari, ketika kami sedang berada dekat Nabi saw., tiba-tiba datang seorang
suruhan dari puteri Rasulullah saw. (Zainab binti Muhammad saw.) meminta Nabi
saw. datang dan mengabarkan kepada beliau bahawa anak puterinya itu (cucu Nabi
saw.) meninggal. Rasulullah berpesan kepada suruhan itu, sabdanya :
"Pulanglah kamu, sampaikan kepadanya (Zainab) bahawasanya kepunyaan Allah
jualah yang telah diambil dan diberikan-Nya. Segala-galanya telah ditetapkan
Allah ajalnya. Kerana itu suruhlah dia bersabar dan menahan diri." Tidak berapa
lama kemudian suruhan itu datang pula kembali seraya berkata, "Dia (Zainab)
sangat mengharapkan benar semoga Rasulullah saw. sudi menjenguknya." Maka
pergilah beliau beserta para sahabatnya, antara lain: Sa'ad bin Ubadah dan
Mu'adz bin Jabal, serta aku sendiri, ikut pula bersama-sama mereka. Sesampai di
tempat kematian (rumah Zainab), diberikan orang kepada beliau jenazah cucunya
itu. Nafas beliau jadi deras tersendat-sendat seperti orang kepayahan, dan air
mata beliau meleleh kerana menangis. Bertanya Sa'ad kepada beliau,
"Mengapa ini, ya Rasulullah?" Jawab beliau, "Ini adalah rahmat yang
dijadikan Allah dalam hati setiap hamba-Nya yang
pengasih." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0870).
Dari
Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: Tujuh golongan dilindungi Allah di bawah lindunganNya, waktu tidak ada
lindungan selain lindungan-Nya:
- Imam (Kepala Pemerintahan) yang adil.
- Pemuda yang dalam masa mudanya beribadat kepada Allah.
- Orang yang menyebut (mengingati) Allah ketika sendirian, lalu menitis air matanya.
- Laki-laki yang tergantung hatinya di masjid (beribadat).
- Orang yang berkasih sayang kerana Allah semata-mata.
- Laki-laki yang dirayu oleh seorang perempuan bangsawan cantik, tetapi dia mengatakan (menolak): "Sesunguhnya saya takut kepada Allah."
- Orang yang bersedekah dan
disembunyikannya, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diperbuat
(diberikan) oleh tangan kanannya. (Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1815).
Dari
Anas bin Malik r.a. katanya Rasulullah saw. pernah berkata: "Pada suatu malam anakku lahir, seorang
bayi lelaki, lalu ku beri nama dia dengan nama bapaku, Ibrahim. Kemudian anak
itu ku kirim kepada Ummu Saif, isteri seorang pandai besi, bernama Abu Saif,
Rasulullah saw. mendatanginya dan aku ikut mengiringkan beliau. Ketika kami
sampai di rumah Abu Saif, dia sedang meniup api di bengkelnya sehingga rumah
itu penuh dengan asap. Aku berjalan duluan di hadapan Rasulullah saw., lalu ku
beritahu Abu Saif. "Hai Abu Saif! Berhentilah! Rasulullah saw.
datang!" Maka berhenti dia. Kemudian Nabi saw. menanyakan bayinya, lalu
diserahkannya ke pangkuan beliau. Nabi saw. mengucapkan kata-kata sayang apa
saja yang diucapkannya. Kata Anas. "Ku lihat bayi itu rela dengan sakit
yang diderita, senang dalam pangkuan Rasulullah saw." Maka Rasulullah saw.
menangis mengucurkan air mata. Kata beliau. "Air mata boleh mengalir, hati boleh sedih, tetapi kita tidak boleh berkata-kata
kecuali yang diredhai Tuhan kita. Demi Allah, wahai Ibrahim, kami sungguh sedih
keranamu!" (Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2145).
Dari
Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Allah Ta'ala telah menjamin bagi orang yang pergi berperang fi
sabilillah (untuk menegakkan agama Allah) dengan firman-Nya, "Siapa yang
pergi jihad (berperang atau berjuang) hanya semata-mata untuk menegakkan atau
membela agamaKu, dan kerana iman denganKu, serta percaya kepada RasulKu, maka
Aku menjamin bahawa Aku akan memasukkannya ke syurga, atau mengembalikannya
pulang ke rumahnya membawa kemenangan, berupa pahala dan harta rampasan. Demi
Allah yang jiwa Muhammad berada dalam kuasa-Nya, tidak ada seorang pun yang
terluka dalam perang fi sabilillah, melainkan dia akan datang kelak di hari
kiamat dalam keadaan luka seperti semula. Warna darahnya merah, dan baunya
harum seperti kasturi. Demi Allah yang jiwa Muhammad dalam kuasaNya, seandainya
tidaklah akan menyulitkan bagi kaum muslimin, tidaklah aku sampai hati untuk membiarkan sebahagian mereka untuk tidak
ikut berperang menegakkan agama Allah. Tetapi aku tidak beroleh kelapangan
untuk menanggung biaya mereka, sedangkan mereka tidak pula mempunyai
kelapangan, padahal mereka merasa kecewa tidak ikut berperang bersama ku. Demi
Allah yang jiwa Muhammad berada dalam kuasaNya, sesungguhnya aku ingin sekali
berperang fi sabilillah lalu aku mati, kemudian aku berperang lagi, lalu mati
pula, kemudian aku berperang kembali lalu mati pula." (Hadis Sahih Muslim Jilid 4.
Hadis Nombor 1834).
Sumber Hadis: http://sigir.uitm.edu.my/webhadis/
Sumber Hadis: http://sigir.uitm.edu.my/webhadis/
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.