Dari
'Abdullah bin 'Umar r.a., katanya: "Ketika
Sa'ad bin 'Ubadah jatuh sakit, Rasulullah saw. datang mengunjunginya
bersama-sama dengan 'Abdurrahman bin 'Auf, Sa'ad bin Abi Waqqash dan 'Abdullah
bin Mas'ud: Ketika Nabi masuk ke rumahnya, didapatinya Sa'ad sedang pengsan.
Nabi saw. bertanya, "Apakah sudah meninggal?" Jawab mereka,
"Belum, ya Rasulullah!" Rasulullah saw. menangis. Melihat beliau
menangis, maka orang banyak pun menangis pula. Kemudian beliau bersabda,
"Tahukah kamu, sesungguhnya Allah tidak menyeksa seseorang kerana
menangis, dan tidak pula kerana bersedih hati.
Tetapi Allah menyeksa kerana ini, sambil beliau menunjuk lidahnya - atau
memberi rahmat kerananya." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor
0871).
Dari
Jabir bin Abdullah r.a. katanya,Rasulullah saw pernah bersabda: "Aku diberi Allah swt. lima perkara
yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorang pun dari Nabi-nabi sebelumku:
- Aku dimenangkan Allah swt. dengan menggentarkan hati musuh-musuhku sejauh sebulan perjalanan (sebelum aku berhadapan dengannya).
- Bumi dijadikan bagi ku sebagai tempat solat (masjid) dan sebagai alat untuk bersuci (yaitu tayammum); kerana itu di mana saja umat ku mendapatkan waktu solat maka hendaklah ia solat ketika itu juga.
- Dihalalkan bagi ku harta rampasan perang.
- Nabi-nabi sebelumku diutus khusus untuk kaumnya saja, sedangkan aku diutus untuk manusia seluruhnya, dan
- Diberikan Allah kepada ku Syafaat (pertolongan dan perlindungan)." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0261).
Dari
'Itban bin Malik r.a, katanya: "Aku
ditimpa musibah, iaitu mata ku buta. Kerana itu aku mengutus seseorang
mengundang Rasulullah saw., semoga beliau sudi solat di rumah ku: di mana
kemudian tempat solat beliau itu ku jadikan tempat solat ku. Kata 'Itban
melanjutkan, "Nabi saw. datang beserta beberapa orang sahabat. Beliau
masuk ke rumah ku lalu solat; sedangkan para sahabat bercakap-cakap sesama
mereka, yang akhirnya sampai kepada perihal Malik bin Dukhsyum. Kata mereka,
"Alangkah besar dosanya Malik bin Dukhsyum." Mereka ingin kiranya
Rasulullah saw. mendoakannya supaya dia celaka ditimpa suatu malapetaka."
Setelah Rasulullah saw. selesai solat, beliau bertanya, "Bukankah dia
telah mengucapkan syahadat, bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, dan bahawa aku
Rasulullah?" Jawab mereka, "Dia mengucapkannya tidak dari hatinya." Sabda Rasulullah saw.,
"Tidak seorang jua pun yang mengucapkan syahadat, bahawa tidak ada Tuhan
selain Allah, dan bahawa aku Rasulullah, yang masuk neraka atau dimakan api
neraka." Kata Anas, "Hadis ini sangat mengagumkan ku. Kerana itu ku
suruh anak ku menuliskannya, lalu dituliskannya." (Hadis Sahih Muslim
Jilid 1. Hadis Nombor 0029).
Dari
Sulaiman bin Buraidah r.a., bapanya menceritakan bahawa Rasulullah saw.
bersabda: "Kehormatan isteri para
pejuang, bagi orang-orang yang tidak turut berperang, sama dengan kehormatan
ibu mereka sendiri. Apabila orang yang mengurus/menjaga keselamatan dan
keamanan keluarga para pejuang mengkhianati mereka, dia akan diadili nanti di
hari kiamat, lalu pahala amalnya diambil oleh orang yang dikhianatinya sesuka hatinya. Bagaimana tanggapanmu?" (Hadis Sahih Muslim
Jilid 4. Hadis Nombor 1850).
Dari
Abu Sa'id Al Khudri r.a., bahawasanya Nabi saw. bersabda: "Zaman dahulu ada seorang pembunuh yang telah membunuh korbannya 99 orang. Lalu dia bertanya kepada penduduk negeri,
"Siapa ulama yang paling alim di negeri ini?" Maka ditunjukkan orang
seorang rahib (pendeta Yahudi). Lalu didatangi rahib itu seraya mengatakan
bahawa dia telah membunuh 99 orang. Kemudian dia bertanya
apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? Jawab Rahib:
"Tidak!" Maka dibunuhnya rahib itu, dan genaplah korban pembunuhannya 100 orang. Kemudian dia bertanya pula kepada penduduk; "Siapa ulama di
negeri ini?" Maka ditunjukkan orang kepadanya seorang ulama yang alim. Dia
menceritakan kepada orang alim itu bahawa dia telah membunuh korbannya 100
orang. Kemudian bertanya apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak?
Jawab ulama, "Ya, sudah tentu. Pintu taubat selamanya tidak pernah
tertutup. Siapa yang sanggup menutup pintu taubat bagi anda. Pergilah anda ke
negeri anu, kerana di sana penduduknya menyembah Allah. Sembahlah Allah
bersama-sama dengan mereka dan jangan kembali lagi ke negeri anda, kerana
negeri anda telah rosak." Maka pergilah orang itu ke negeri yang ditunjuk oleh ulama. Setengah perjalanan tiba-tiba orang itu meninggal. Maka
bertengkarlah malaikat rahmat dengan malaikat 'adzab. Kata malaikat rahmat,
"Orang ini telah taubat dan dia sedang menghadap dengan hati yang taubat itu kepada Allah
Ta'ala." Kata malaikat 'adzab, "Dia belum pernah melakukan kebaikan
sedikit jua pun." Tiba-tiba datang seorang malaikat dengan rupa manusia,
lalu dia berdiri di tengah-tengah mereka seraya berkata, "Ukurlah jarak
kedua negeri itu, ke mana yang lebih dekat bawalah dia ke situ." Setelah
diukur ternyata yang lebih dekat ialah negeri yang di tujunya. Maka dibawalah
dia oleh malaikat rahmat." (Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor
2372).
Dari
Abu Hurairah r.a. katanya, Saya bertanya: "Ya
Rasulullah! Siapakah orang yang amat beruntung mendapat pertolongan engkau di
hari kiamat?" Beliau menjawab: "Sesungguhnya aku menduga, hai Abu
Hurairah, belum pernah ada seseorang pun yang bertanya sebelum engkau tentang
ini, kerana ku lihat engkau seperti berhasrat untuk memperoleh keterangan (pengetahuan).
Orang yang paling beruntung mendapat pertolonganku di hari kiamat ialah orang
yang mengucapkan "La ilaha iillallah" (tiada yang disembah selain
Allah) dengan ikhlas dari hatinya."
(Hadis
Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1768).
Aswad
r.a. bercerita: "Pada suatu kali
kami berada dekat Aisyah r.a., lalu kami berbincangkan masalah menetapi solat
berjemaah dan memuliakannya. Kata 'Aisyah, "Ketika Rasulullah saw. sedang
solat keras menjelang akhir hayat beliau, waktu solat tiba dan orang pun telah
azan; maka berkata beliau, "Suruhlah Abu Bakar supaya dia mengimami solat
berjemaah dengan orang banyak." Dijawab orang, "Abu Bakar seorang
penyedih hati. Kalaulah dia yang
menggantikan anda, dia tidak akan sanggup solat menjadi imam bagi orang
banyak." Rasulullah mengulangi perintahnya sampai tiga kali, tetapi orang
itu mengulangi jawabnya pula hingga tiga kali. Akhirnya Rasulullah saw.
bersabda: "Kamu semua (wanita) sahabat-sahabat Yusuf. Suruhlah Abu Bakar
solat dengan orang banyak!" Abu Bakar datang, dia solat menjadi imam bagi
orang banyak. Ketika Nabi merasa agak ringan penyakitnya, beliau datang ke
masjid dengan dipapah oleh dua orang (Abbas dan Ali). Seolah-olah masih
kelihatan olehku bagaimana Nabi mengheret kakinya kerana sakit. Dan Abu Bakar hendak
undur ke belakang. Tetapi diisyaratkan oleh Nabi kepadanya supaya dia tetap di
tempatnya. Kemudian beliau dipapah/didudukkan orang di dekat Abu Bakar." (Hadis Sahih Bukhari
Jilid 1. Hadis Nombor 0380).
Sumber Hadis: http://sigir.uitm.edu.my/webhadis/
Sumber Hadis: http://sigir.uitm.edu.my/webhadis/
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.