Pages

20131217

HATI (5)



Dari 'Uqbah bin 'Amr dan Abu Masuud r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. menunjuk dengan tangan beliau ke jurusan Yaman, sambil bersabda: "Iman, bangsa Yaman di sana. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya kekerasan dan kekasaran hati itu terdapat pada orang-orang yang berteriak-teriak dekat ekor unta (orang penghalau unta) dan timbul pengikut-pengikut syaitan pada suku Rabiaah dan Mudhar". (Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1461).

Dari Hakim bin Hizam r.a., katanya dia meminta sedekah kepada Nabi saw., lalu diberi oleh beliau. Kemudian dimintanya lagi lalu diberi pula oleh beliau. Kemudian dimintanya lagi, lalu diberi pula oleh beliau: Kemudian beliau bersabda: "Harta itu lazat dan manis. Maka siapa menerimanya dengan hati bersih (tidak rakus atau serakah), dia akan mendapat berkat dengan harta itu. Tetapi siapa yang menerimanya dengan nafsu serakah, dia tidak akan mendapat berkat dengan harta itu; dia akan seperti orang makan yang tidak pernah merasa kenyang. Dan tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0993).

Dari Mu'aWiyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Janganlah kamu pergi meminta-minta. Demi Allah! Tidak seorang jua pun yang meminta kepada ku, yang tidak ku penuhi permintaannya. Tetapi, seorang yang ku beri dengan
hati enggan, maka pemberian itu tidak berkat baginya." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0996).

Dari Mu'awiyah r.a., katanya: "Hindarilah hadis-hadis palsu, kecuali hadis-hadis pada masa Umar bin Khaththab. Sesungguhnya Umar sangat ditakuti orang mengenai hukum-hukum Allah, apalagi mengenai hadis-hadis palsu, (kerana tindakannya tegas). Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda : "Siapa yang dikehendaki Allah menjadi (orang) baik, maka diberi-Nya orang itu pengetahuan yang dalam tentang agama." Dan aku mendengar pula Rasulullah saw. bersabda: "Aku ini adalah seorang bendahara. Maka siapa yang kuberi (sedekah) dan diterimanya dengan hati bersih, maka dia akan beroleh berkat dari harta itu. Tetapi siapa yang kuberi kerana meminta-minta dan rakus, maka dia seperti orang makan yang tak pernah kenyang." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0995).

Dari Malik bin Sha'sha'ah r.a., seorang pemimpin dalam kaumnya, katanya Nabi saw. bersabda: "Ketika aku sedang berbaring di tempat tidur dalam keadaan antara tidur dan bangun, tiba-tiba aku mendengar seseorang berbicara, lalu dia mendatangi dan membawa ku pergi. Kemudian aku dibawakannya sebuah bejana emas berisi air zamzam, lalu dibelahnya dadaku dari sini hingga ke sini. Tanya Qatadah, "Hingga mana dibelahnya?" Jawabnya, "Hingga bawah perutnya." Lalu dikeluarkannya hatiku, dan dibersihkannya dengan air zamzam. Sesudah itu diisinya dengan iman dan hikmah. Kemudian aku dibawakannya seekor binatang berwarna putih yang disebut Buraq', lebih besar dari keldai tetapi lebih kecil dari baghal. Apabila binatang itu melompat, maka lompatannya sejauh mata memandang. Lalu aku dinaikkannya ke punggung binatang itu, dan sesudah itu kami pergi hingga sampai ke langit dunia. Lalu Jibril a.s. minta supaya dibukakan pintu. Dia ditanya, "Siapa itu?" Jawab Jibril, "Aku Jibril!" Tanya: "Siapa bersama Anda?" Jawab: "Muhammad saw.!" Tanya: "Apakah dia sudah diutus?" Jawab : "Ya, sudah!" Sesudah itu barulah penjaga membukakan pintu untuk kami seraya berkata, "Selamat datang tetamu agung!" Kata Nabi saw. selanjutnya, "Kemudian kami bertemu dengan Adam a.s., sesudah itu di langit kedua dengan Isa dan Yahya a.s., di langit ketiga dengan Yusuf, keempat dengan Idris, dan di langit kelima dengan Harun a.s. Kami terus juga pergi, hingga sampai ke langit keenam. Di sana kami bertemu dengan Musa a.s. Aku memberi salam kepadanya, dan dia menjawab salamku pula. "Selamat datang saudara yang saleh dan Nabi yang saleh," ujarnya. Ketika aku telah berlalu daripadanya, dia menangis. Lalu dia ditanya oleh suara yang didengar, "Kenapa Anda menangis?" Jawab Musa a.s., "Ya Allah, Engkau mengutus anak ini menjadi Rasul sesudahku. Tetapi umatnya lebih banyak yang masuk syurga daripada umatku." Kemudian kami pergi pula, hingga sampai ke langit ketujuh. Di sana aku bertemu dengan Ibrahim a.s., dan melihat empat buah sungai yang dua sumbernya kelihatan dan yang dua lagi tidak kelihatan. Aku bertanya, "Ya, Jibril! Sungai apakah ini?" Jawab Jibril, "Dua sungai yang tidak kelihatan sumbernya ialah dari syurga, sedangkan dua lagi yang kelihatan sumbernya, ialah sungai Nil dan sungai Furat." Kemudian aku dibawa naik ke Baitul Ma'mur. Aku bertanya kepada Jibril, "Apa ini?" Jawab Jibril, "Ini Baitul Ma'mur. Setiap hari 70,000 malaikat masuk ke dalam, dan apabila mereka keluar mereka tidak akan kembali lagi ke dalam untuk selama-lamanya." Kemudian aku diberi dua buah bejana, yang satu berisi khamar dan satu lagi berisi susu. Tetapi aku justeru memilih susu. Katanya, "Pilihan anda sungguh tepat!" Kemudian diwajibkan kepada ku solat 50 kali sehari semalam sebagaimana telah diceritakan. (Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0138).

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Hati seorang orang tua tetap muda dalam hal mencintai dua perkara. Iaitu: dalam hal mencintai hidup dan harta benda." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1007).

Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Allah mengasihi orang yang murah hati ketika menjual, ketika membeli dan ketika menagih.” (Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1020).

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang berkeras hati melaksanakan sumpahnya, padahal membahayakan bagi keluarganya, maka tindakan orang itu lebih besar dosanya di sisi Allah daripada dia membayar denda yang diwajibkan Allah." (Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1642).

Berita dari Abu Hurairah r.a., mengatakan, bahawa: Rasulullah saw. bersabda: "Apabila diserukan azan untuk solat, maka larilah segala syaitan terbirit-birit dengan kentutnya hingga tak terdengar lagi olehnya azan. Setelah selesai azan, dia datang pula kembali. Kemudian, apabila orang qamat, dia lari pula, dan setelah qamat selesai, dia datang kembali hendak menggoda hati setiap orang. Katanya, "Ingatlah ini dan itu." Iaitu hal-hal yang belum pernah diingat orang itu, sehingga dia lupa, telah berapa rakaat dia solat? (Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0344).

Sumber Hadis: http://sigir.uitm.edu.my/webhadis/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.