Pages

20131204

HATI (1)

Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Setelah isi syurga masuk ke dalam syurga dan isi neraka masuk ke dalam neraka, Tuhan berfirman: "Siapa yang ada keimanan dalam hatinya buang seberat biji sawi, hendaklah kamu keluarkan dari neraka." Lalu mereka dikeluarkan, sedang kulitnya telah terbakar menjadi bara. Kemudian mereka dijatuhkan ke dalam sungai kehidupan, maka bertumbuhlah mereka sebagai tumbuhnya bibit di atas sampah banjir. Nabi saw. berkata: "Bukankah sudah kamu lihat, tumbuhnya kuning dan bengkok?" (Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1762).

Dari Anas r.a., katanya: "Kami pergi dengan Rasulullah saw. kepada Abu Saif tukang besi yang sesusu dengan Ibrahim. Rasulullah mengambil Ibrahim lalu menciumnya. Tidak lama sesudah itu kami datang pula kepadanya, tetapi ketika itu Ibrahim telah menghembuskan nafasnya yang penghabisan, dan air mata Rasulullah berlinang kerananya." Abdurrahman bin 'Auf berkata: "Ya, Rasulullah! Kenapa engkau menangis?" Jawab Rasulullah, "Hai, Ibnu 'Auf! Sesungguhnya yang demikian adalah kasih mesra. " Abdullah mengulangi perkataannya. Sabda Rasulullah saw., "Air mata mengalir, hati penuh duka, namun tidak ada kata-kata yang kami ucapkan melainkan apa yang diredhai Allah jua. Dan sesungguhnya perpisahan kami dengan engkau, hai Ibrahim, amat menyedihkan." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0678).

Dari Abu Hurairah r.a.. katanya: Saya dengar Nabi s.a.w. bersabda: "Demi Tuhan yang diri ku di tanganNya! Kalau tidaklah kerana mengingat beberapa orang di antara orang-orang mukmin yang tidak bersenang hati kalau dia tinggal dan saya pergi perang, sedang saya tiada sanggup menyediakan kenderaan untuk mereka, nescaya saya akan tetap ikut pada setiap pasukan pergi berperang di jalan Allah. Dan demi Tuhan yang diri ku di tanganNya! Sesungguhnya saya amat ingin kalau sekiranya saya terbunuh dalam perang di jalan Allah, kemudian dihidupkan, kemudian terbunuh lagi dan dihidupkan pula. kemudian terbunuh dan dihidupkan, dan akhirnya terbunuh lagi". (Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1275).

Dari Zaid bin Arqam r.a.katanya: "Aku tidak akan mengatakan kepada mu kecuali apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw. Beliau sering berdoa: "Allahumma inni a'uzubika minal 'ajzi, wal kasali, wal jubni, wal bukhli, wal harami, wa 'adzabil qabri. Allahumma aati nafsi taqwaaha, wa zakkiha anta khairu man zakkaaha, anta waliyyuha wa maulaaha. Allahumma inni a'udzu bika miln 'ilmin laa yallfa', wa min qalbin laa yakhsya', wa min nafsin laa tasyba', wa mill da'watin laa yustajaabu laha. " ( Wahai Allah! aku berlindung dengan Engkau dari kelemahan, kemalasan dan ketakutan, kepikunan dan dari seksa kubur. Wahai Allah! Isikanlah jiwa aku dengan sifat taqwa dan bersihkanlah dia, Engkaulah yang terbaik membersihkannya, kerana Engkaulah pelindung dan pemeliharanya. Wahai Allah! aku berlindung dengan Mu dari ilmu yang tidak bermanafaat, dari hati yang tidak khusyuk, dari nafsu yang tidak mahu puas dan dari doa yang tidak berjawab) (Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2344).

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Aku diutus dengan perkataan-perkataan yang ringkas, tetapi mencakup (Al Qur'an); dan aku dimenangkan dengan perasaan gentar di hati musuh-musuhku dan ketika aku tidur diberikan kepada ku kunci-kunci perbendaharaan bumi, lalu diletakkan di tangan ku." (Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0474).

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Aku diistimewakan Allah dari para Nabi yang lain dengan enam macam keistimewaan: 
  1. Aku dikurniai perkataan yang ringkas, tetapi padat berisi (yakni Al Qur'an). 
  2. Aku dimenangkan Allah dengan perasaan gentar di hati musuh-musuhku. 
  3. Bagiku dihalalkan harta rampasan.
  4. Bumi dijadikan suci bagi ku dan menjadi tempat sujud. 
  5. Aku diutus kepada semua makhluk. 
  6. Aku penutup segala Nabi. (Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0473).
Sumber Hadis: http://sigir.uitm.edu.my/webhadis/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.