Dari Abdullah bin Amir Ibn As r.a meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Iman akan
menjadi lusuh dan buruk didalam hati kamu sebagaimana pakaian akan menjadi
buruk apabila dipakai. Oleh itu mintalah kepada Allah untuk memperbaharui iman
dalam hati-hati kamu. (HR Hakim)
Dari Mahmud bin Labidh r.a meriwayatkan bahawa Nabi
SAW bersabda: Dua benda yang mana tidak disukai oleh
manusia, pertama ialah maut sedangkan maut itu lebih baik daripada fitnah.
(kerana dengan kematian manusia akan terhindar dari fitnah yang boleh
merosakkan agama). Kedua ialah kurangnya harta, sedangkan dengan kurangnya
harta sedikitlah penghisabannya di hari akhirat kelak. (HR Musnad
Ahmad, Majma uz Zawaid)
Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan seorang lelaki
bertanya kepada Rasulullah SAW: Bilakah
akan berlaku hari Kiamat wahai Rasulullah? Baginda Rasulullah SAW menjawab: Apakah persiapan engkau
untuk hari itu? Dia menjawab: Aku tidak ada persiapan untuk itu dengan
banyak bersolat, dan puasa sunat atau pun bersedekah, akan tetapi aku mencintai
Allah dan RasulNya. Nabi SAW bersabda: Kamu akan berada bersama dengan orang yang kamu
cintai. (HR Bukhari)
Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW
bersabda: Bagi setiap sesuatu itu ada hakikatnya, dan tidak
mencapai hakikat iman seseorang hamba itu sehingga dia mengetahui bahawa setiap
apa yang menimpanya itu ialah satu ketetapan, bukannya datang sendiri atau
perkara yang belum terjadi itu tidak boleh berlaku. (HR Tabrani,
Ahmad)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan
bahawa Rasulullah SAW bersabda: Diantara mereka yang
sangat mencintaiku ialah orang-orang yang datang selepasku. Mereka menyesal
alangkah baiknya dapat melihatku walaupun terpaksa membelanjakan rumah, segala
hartanya dan ahli keluarganya (dikorbankan supaya dapat melihatku). (HR
Muslim)
Dari Umair Al-Ansari r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa
dikalangan ummatku berselawat kepadaku dengan ikhlas sebanyak sepuluh kali,
Allah SWT akan menurunkan rahmat untuknya sepuluh rahmat. Dan diangkat
darjatnya sepuluh kali darjat, dan dituliskan untuknya sepuluh kebaikan dan
diampunkan daripadanya sepuluh kejahatan. (HR Nasai)
Dari Abu Musa r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Allah
membuka seluas-luasnya tangan RahmatNya di waktu malam bagi mereka yang
melakukan dosa disiang hari dan membuka tangan RahmatNya di waktu siang bagi
mereka yang melakukan dosa diwaktu malam supaya bertaubat kepada Allah.
(Kerahiman ini) akan terus berlaku sehinggalah matahari terbit disebelah barat.
(HR Muslim)
Dari Shaddad ibn Aus r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Orang yang
bijak itu ialah orang yang sentiasa menghisab (memperbaiki) akan dirinya dan
beramal dengan amalan yang akan dibawa selepas mati. Dan orang yang bodoh itu
ialah orang yang sentiasa mengikut keinginan hawa nafsunya dan berangan-angan
mendapat (pengampunan) Allah. (HR Tirmizi)
Dari Masturid bin Syaddad
r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Demi Allah
tiadalah dunia ini jika dibandingkan dengan akhirat adalah seumpama salah
seorang daripada kamu yang memasukkan anak jari ke dalam sebuah sungai dan
diangkat, maka lihatlah sebanyak mana air yang melekat di jari itu (begitu
sedikit) begitulah jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat. (HR
Muslim)
Dari Zaid bin Thabit r.a
meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda: Tiga perkara
yang dengannya hati orang beriman akan suci dari sifat khianat, dengki (dan
semua keburukan): 1. Beramal untuk redha Allah SWT. 2. Inginkan kebaikan untuk
para pemimpin, 3. Sentiasa bersama dengan jemaah orang Islam. Ini kerana orang
yang bersama-sama jemaah akan dilingkungi oleh doa ahli-ahli jemaah itu.
(HR Ibn Majah)
Dari Abu Said Al-Khudri
r.a dan Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorang muslim yang ditimpa musibah, keletihan,
sakit, terganggu fikirannya, sedih, bimbang, kecemasan sehingga tercucuk dengan
duri sekali pun melainkan diampuni akan dosa-dosanya. (HR Bukhari)
Dari Samurah ibn Jundab
r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Di antara
mereka (ahli neraka) di makan oleh api hingga sampai ke buku lalinya dan di
antara mereka ada yang dimakan oleh api hingga sampai ke lututnya. Dan di
antara mereka ada yang dimakan oleh api hingga sampai ke pinggang mereka dan
sebahagian dari mereka ada yang dimakan oleh api sampai ke tulang dadanya.
(HR Muslim)
Dari Abdullah bin Umar
r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa
tidur dalam keadaan berwudhu’, malaikat akan tidur disisinya sehingga tersentuh
kulitnya. Dan apabila dia bangun malaikat akan berkata: Wahai Allah, ampunilah
orang ini kerana dia tidur dalam keadaan berwudhu’. (HR Ibn Hibban)
Dari Salman Al-Farsi r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya
Allah mempunyai sifat malu, dan memberi kepada orang yang tidak meminta dengan
pemberian yang banyak. Apabila seseorang mengangkat tangannya dihadapan Allah,
memohon sesuatu, maka Allah amat malu untuk memulangkan kedua tangan tersebut
dengan tangan kosong. (HR Tirmizi)
Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Api dunia
kamu adalah sebahagian daripada satu pertujuh puluh daripada api neraka.
Seorang bertanya: Ya Rasulullah SAW bukankah api dunia sudah cukup panas.
Rasulullah SAW menjawab: (Api
dunia kalau dibandingkan dengan api neraka) adalah enam puluh sembilan kali
lebih panas dan setiap satu kepanasan itu adalah sama dengan panasnya api dunia. (HR
Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW telah ditanya bahawa amalan yang manakah dengannya ramai manusia akan memasuki
syurga? Sabda Baginda SAW: Takwa (takutkan Allah SWT) dan akhlak yang mulia. Dan Baginda
SAW ditanya: Amalan apakah yang dengannya ramai manusia akan ke neraka? Lidah dan kemaluan (yang
disalah guna). (HR Tirmizi)
Dari Anas bin Malik r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasullullah SAW bersabda: Tiga perkara
akan mengikuti mayat. Dua akan kembali dan tinggal yang satu. Akan mengikutinya
(ke kubur) ahli keluarganya, hartanya dan amalannya. Kemudian harta dan ahli
keluarganya akan kembali, tinggallah bersamanya amalannya. (HR
Muslim)
Dari Ibn Abbas r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya
Allah SWT telah menciptakan Israfil, semenjak hari penciptaannya terus berdiri
dengan lurus di atas kedua belah kakinya tidak pernah mengangkat wajahnya. Di
antara dia dan TuhanNya yang Maha Tinggi terdapat tujuh puluh hijab (dinding)
dari Nur. Jika ia mendekati kepada hijab ini nescaya akan terbakar. (HR
Masahibus Sunnah)
Dari Abu Zar r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya
telah Berjaya seseorang itu yang beriman dengan ikhlas, menjadikan hatinya suci
(dari syirik dan kekufuran) ucapannya jujur dan benar, jiwanya tenang (orang
yang banyak berzikir dan melaksanakan segala perintah Allah akan mendapat
ketenangan), baik budi pekertinya, menjadikan telinganya mendengar (nasihat)
dan matanya melihat kepada kebenaran. (HR Musnad Ahmad)
Dari Anas r.a meriwayatkan
bahawa Nabi SAW bersabda: Tiga sifat, barangsiapa
mempunyai sifat-sifat yang berikut akan merasai kemanisan iman: Pertama, mereka
yang mencintai Allah SWT dan Rasul SAW lebih dari segala sesuatu. Kedua, Tidak
mencintai seseorang kepada seseorang yang lain kecuali kerana Allah SWT.
Ketiga, seorang yang membenci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia
benci dicampakkan ke dalam api. (HR Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Orang yang
paling banyak mendapat manfaat daripada syafaatku pada hari kiamat nanti ialah
seorang yang mengucapkan kalimah La ilaha illallah dengan ikhlas di dalam
hatinya. (HR Bukhari)
Dari Ibnu ‘Abbas r.huma,
katanya: Rasulullah SAW bersabda: Ada dua macam kenikmatan
yang keduanya itu disia-siakan oleh sebahagian besar manusia iaitu kesihatan
dan kelapangan waktu. (Riwayat Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Barangsiapa
yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, maka hendaklah dia mengatakan
kebaikan atau diam. (HR Bukhari)
Dari Abdullah bin Mas’ud
r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa
menghadapi kesempitan dalam rezekinya kemudian dia mula meminta-minta kepada
orang lain, maka kesempitan itu tidak akan hilang. Dan barangsiapa menghadapi
kesempitan dalam rezeki kemudian dia meminta kepada Allah maka Allah
menyediakan kepadanya rezeki dengan segera, samaada dengan cepat atau
dilambatkan sedikit. (HR Tirmizi)
Dari Abu Darda r.a
meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: Allah telah menetapkan
lima perkara bagi setiap hambaNya; Ajalnya dan rezekinya, umurnya, untung nasib
buruk dan nasib baiknya. (HR Ahmad)
Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Dunia ialah
penjara bagi orang-orang mukmin dan syurga bagi orang-orang kafir.
(HR Muslim)
Dari Jabir bin Abdullah
r.a berkata; Aku mendengar baginda Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa bertemu Allah dalam keadaan tidak
menyengutukan sesuatu selain daripada Allah akan memasuki syurga. Dan
barangsiapa bertemu Allah dalam keadaan dia menyengutukan sesuatu denganNya
memasuki neraka. (HR Muslim)
Dari Abu Umamah r.a
berkata seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Pesuruh Allah! Apakah itu iman? Baginda SAW menjawab: Apabila kamu berasa
gembira dengan amal kebaikanmu dan kamu merasa benci dengan amal keburukanmu,
maka kamu adalah seorang yang beriman (mukmin). (HR Al-Hakim)
Dari Umar ibn Khattab r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jika kamu
bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Allah akan
memberi rezeki sebagaimana memberi rezeki kepada burung-burung. Mereka pergi
dipagi hari dengan perut kosong dan kembali pada waktu petang dengan perut yang
kenyang. (HR Tirmizi)
Hadzrat Talhah ibnu
Ubaidullah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang mana
barangsiapa membacanya ketika hampir matinya, kecuali mendapati ruhnya amat
tenang keluar dari pada jasadnya dan kelak akan menjadi nur baginya pada hari
Qiamat. (Kalimah itu ialah La ilaha illallah). (HR Abu Ya’la, Majma
uz Zawaid)
Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Iman itu lebih
daripada 70 cabang, yang terbaik daripadanya ialah mengucapkan La ilaha
illallah (Tiada tuhan yang patut disembah kecuali Allah SWT) dan yang paling
rendah ialah membuang sesuatu yang menyakiti di tengah jalan, dan malu itu satu
cabang daripada iman. (HR Muslim)
Dari Anas ibn Malik r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Aku
berkeinginan untuk bertemu dengan saudara-saudaraku. Para sahabat
berkata, Tidakkah kami ini saudara-saudara tuan? Baginda SAW menjawab: Kamu adalah sahabatku,
tetapi saudara-saudaraku ialah orang-orang yang beriman kepadaku, walaupun
mereka tidak melihat aku. (HR Ahmad)
Dari Miqdad r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Pada hari
Kiamat, matahari akan dihampirkan pada semua makhluk sehingga tinggal sebulan
perjalanan dari bumi. (Disebabkan kepanasan) manusia akan berpeluh mengikut
kadar amalannya. Lebih banyak keburukan yang dilakukannya lebih banyak peluh
yang dikeluarkan sehingga ada yang sampai ke buku lali, sebahagiannya ada yang
sampai ke lutut, sebahagiannya ada yang sampai ke pinggangnya dan sebahagian
ada yang sampai ke mulutnya. Rasulullah SAW menunjukkan tangannya ke
arah mulutnya (iaitu hingga sampai ke sini). (HR Muslim)
Dari Jabir r.a berkata
bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Aku dan kamu diumpamakan
sebagai seorang yang telah menyalakan api, lalu rama-rama dan kelkatu jatuh ke
atasnya dan dia menjauhkannya daripada api itu. Aku memegang pinggang-pinggang
kamu dan menyelamatkan kamu dari api neraka, akan tetapi kamu terlepas dari
tanganku. Yakni kamu terus berjatuhan ke dalam api neraka. (HR
Muslim)
Dari Abdullah ibn Umar r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Bahawa
setiap sesuatu telah ditulis dengan Qadar (takdir) sehingga kebodohan dan
kelemahan atau kecerdikan dan kepandaian seseorang. (HR Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa berpegang
dengan sunnah-sunnahku ketika dizaman rosaknya ummatku baginya adalah ganjaran
syahid (di jalan Allah). (HR Tabrani)
Dari Abdullah ibn Umar r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Tidak
sempurna iman salah seorang daripada kamu sehingga keinginan hawa nafsu kamu
tidak mengikuti agama yang aku bawa. (HR Al-Baghawi)
Dari Anas r.a
meriwayatkan, Aku mulai berkhidmat kepada
Rasulullah SAW ketika umurku 8 tahun. Selama 10 tahun berkhidmat dia tidak
pernah menyalahkan aku apabila berlaku kerugian (kesalahan) yang berlaku dengan
sebab tanganku. Dan jikalau seseorang daripada keluarganya menyalahkan aku,
Baginda akan bersabda: Biarkan
dia, kerana sesungguhnya jikalau sesuatu telah ditakdirkan, pasti akan terjadi!
(Masabi hus Sunnah)
Dari Umar r.a berkata: Aku
mendengar baginda rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa merendahkan
diri kepada Allah maka Allah akan meninggikan darjatnya. Mereka ini sentiasa
melihat dirinya kecil tetapi pada pandangan orang lain dia adalah besar.
Barangsiapa berlagak sombong Allah SWT akan menjatuhkannya dan hilang rasa
hormat orang terhadapnya. Mereka ini merasa dirinya besar, tetapi orang lain
mengira dia lebih buruk daripada anjing atau babi. (HR Baihaqi)
Dari Abu Hurairah r.a
berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Seorang
hamba mengatakan satu perkara yang diredhai dan dia merasakan perkara itu tidak
penting tapi kerananya Allah SWT akan meninggikan darjatnya, dan seorang hamba
mengatakan satu perkara yang dimurkai Allah SWT dan dia tidak menghiraukannya,
tapi kerana perkara itu dia akan tersungkur di dalam neraka Jahanam.
(HR Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Apabila Allah menciptakan
makhlukNya lantas ditulis di Lauh Mahfuz, Sesungguhnya rahmatKu lebih besar
daripada kemurkaanKu. Tulisan ini berada di atas Arash dihadapan mereka.
(HR Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Pada hari Kiamat bumi akan
berada didalam genggaman Allah SWT dan langit berada disebelah kananNya
kemudian berfirman; Akulah Raja, dimanakah raja bumi hari ini? (HR
Bukhari)
Dari Jabir r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Diantara
kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada
hari Kiamat ialah orang yang baik akhlaknya. (HR Tirmizi)
Dari Umar Ibnu Khattab r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa
yang mati dalam keadaan beriman kepada Allah SWT dan hari Akhirat, akan
dikatakan kepadanya masuklah ke dalam syurga daripada mana-mana lapan pintu
syurga yang kamu kehendaki. (HR Ahmad)
Dari Abi Musa Al-Asya’ri
r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Satu ketika
berdiri di hadapan kami memberi lima rangkai kalimat. Maka sabdanya: Sesungguhnya Allah SWT
tidak tidur. Dan tidak selayaknya bagi Allah SWT itu tidur. Mengurangi dan
menambahkan rezeki. Mengangkat amalan malam sebelum amalan siang. Dan
mengangkat amalan siang sebelum amalan malam. Hijabnya daripada nur, jika ia
dibuka nescaya sejauh mana makhluk yang dapat dilihat akan terbakar kerananya. (HR Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a
katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Perbaharuilah iman kamu.
Para Sahabat bertanya; Wahai Rasulullah SAW bagaimana kami memperbaharui
iman kami? Baginda SAW bersabda: Perbanyakkanlah mengucap kalimah La ilaha illallah. (HR
Ahmad, Tabrani dan at-Targhib)
Dari Anas bin Malik r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sangat
beruntung sekali orang yang beriman kepadaku dan pernah melihatku (sekali).
Sungguh beruntung sekali orang yang beriman kepadaku dan belum pernah melihatku
(sehingga tujuh kali). (HR Ahmad)
Dari Irbadh bin Sariah r.a
berkata aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya
aku ialah hamba Allah dan Nabi yang terakhir. (HR Mustadrak Hakim)
Dari Sa’ad r.a
menceritakan bahawa beliau telah mendengar Nabi SAW bersabda: Allah SWT menyukai hamba-hamba yang bertakwa, yang
tidak berharap kepada makhluk dan tidak terkenal. (HR Muslim)
Dari Huzaifah r.anhu
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Islam itu
terdiri dari lapan bahagian (yang penting). Islam (iman) satu bahgian,
mendirikan solah satu bahagian, membayar zakat satu bahagian, menunaikan Haji
satu bahagian, berpuasa satu bahagian, menyeru kepada kebaikan satu bahagian,
mencegah daripada kemungkaran satu bahagian dan berjihad di jalan Allah Taa’la
satu bahagian, sesungguhnya gagallah bagi mereka yang tidak ada satu bahagian
pun daripadanya. (HR Al-Bazzar)
Dari Abu Barzah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Aku
khuatirkan terhadap kamu bahawa kamu terjerumus di dalam kehendak nafsu yang
menyesatkan berkaitan dengan perut dan kemaluan kamu (seperti makan makanan
haram, berzina dan lain-lain) dan dari terjerumus di dalam keinginan diri yang
menyingkirkan kamu daripada jalan kebenaran) dan membawa kamu kepada kesesatan.
(HR Musnad Ahmad, Bazzar, Tabrani, Majma uz Zawaid)
Dari Abu Hurairah r.a
berkata bahawa aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: Semua umatku layak diberi keampunan kecuali mereka
yang melakukan dosa secara terang-terangan. Ini termasuklah orang yang
melakukan dosa pada suatu malam dan kemudiannya pada waktu pagi walaupun Allah
telah menutup dosanya (dan tidak menampakkannya kepada orang ramai) dia
berkata: Wahai fulan! Malam tadi aku telah melakukan (dosa) itu dan ini.
Padahal dia menghabiskan malam dalam keadaan Tuhannya menutupinya tetapi dipagi
hari menampakkan apa yang Allah SWT tutup (pada malam itu). (HR
Bukhari)
Dari Amr bin ‘Auf r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Demi Allah!
Bukanlah kemiskinan itu yang aku khuatirkan terhadap kamu, tetapi yang aku
khuatirkan kepada kamu ialah dunia dilapangkan kepada kamu, sepertimana ia
telah dilapangkan kepada orang-orang sebelum kamu, kemudian kamu akan
berlumba-lumba untuk mendapatkannya sepertimana orang-orang sebelum kamu
berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Lalu dunia akan melalaikan kamu
sepertimana ia telah melalaikan mereka. (HR Bukhari)
Dari Abu Umamah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ketika meriwayatkan satu hadis Qudsi telah
bersabda: Wahai anak Adam!, Jika engkau terus bersabar (bilamana
hilangnya sesuatu dari dirimu) dan engkau terus harapkan pahala, maka aku tidak
rela membalasimu dengan balasan yang lebih rendah dari syurga. (HR
Ibnu Majah)
Dari Anas r.a, katanya:
Nabi SAW menggariskan beberapa garis, lalu Baginda bersabda: Ini adalah angan-angan manusia sedang ini adalah
ajalnya. Kemudian di waktu orang itu sedang dalam keadaan sedemikian yakni
angan-angannya masih tetap panjang dan membumbung tinggi, tiba-tiba datanglah
garis yang terpendek yakni garis yang memotongnya iaitu kematian.
(HR Bukhari)
Dari Abu Said al-Khudri
r.a. dari Nabi SAW sabdanya: Sesungguhnya dunia ini
manis dan menghijau (yakni lazat dan nyaman) dan sesungguhnya Allah itu
menjadikan engkau semua sebagai pengganti di bumi itu, maka itu Dia akan
melihat apa-apa yang engkau lakukan. Oleh yang demikian, maka takutilah harta
dunia dan takutilah pula tipu daya kaum wanita. Sebab sesungguhnya pertama-tama
fitnah yang terjadi di kalangan kaum Bani Israil adalah disebabkan kaum wanita.
(Riwayat Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Tujuh golongan akan berada
dibawah naungan rahmat Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali
naunganNya. (Pertama): Raja yang adil. (Kedua): Pemuda yang menghabiskan masa
mudanya dengan beribadat kepada Allah. (Ketiga): Seorang lelaki yang hati
sanubarinya sentiasa berpaut kepada masjid. (Keempat): Dua orang yang berkasih
sayang semata-mata kerana Allah. Bertemu dan berpisah kerana Allah. (Kelima):
Seorang lelaki yang diajak oleh wanita bangsawan dan cantik kepadanya namun dia
berkata: Aku takutkan Allah. (Keenam): Seorang lelaki yang membelanjakan
hartanya secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang
diberikan oleh tangan kanannya. Dan (Ketujuh): Seorang lelaki yang berzikir
kepada Allah dengan bersunyi diri sehingga mengalirkan air mata. (HR
Bukhari)
Dari Uqbah ibn Amir r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perumpamaan bagi orang yang melakukan keburukan kemudian melakukan kebaikan ialah seperti seorang yang memakai baju besi yang sempit lalu tercekik. Kemudian dia melakukan kebaikan yang menyebabkan sambungan baju itu longgar, kebaikan yang dilakukan seterusnya menyebabkan ia bertambah longgar dan akhirnya akan terlucut ke tanah. (HR Ahmad)
Dari Amir Ibn Shuib r.a dari bapanya dari datuknya meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Bermulanya islah (pembentukan) bagi ummat ini ialah Iman dan Yakin yang sempurna. Dan bermulanya kerosakan bagi ummat ini ialah disebabkan bakhil dan panjang angan-angan. (HR Baihaqi)
Sumber: Kitab Muntakhab-Ahadith & Riyad Us Saliheen
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.