Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa; Aku Rasulullah SAW
bersabda: Umatku pada hari Kiamat akan dipanggil dalam keadaan
tangan, kaki dan mukanya bercahaya-cahaya dari kesan basuhan air wudhu’. Oleh
itu barangsiapa yang mahu supaya bertambahnya cahaya, dengan menyempurnakan
basuhannya maka lakukanlah. (HR Bukhari)
Dari Salman r.a meriwayatkan bahawa baginda Nabi SAW
bersabda: Barangsiapa berwudhuk dirumahnya dengan sebaik-baik wudhuk
kemudian pergi ke masjid, dia adalah menjadi tetamu Allah. (Allah sebagai tuan
rumah) dan adalah menjadi tanggungjawab tuan rumah untuk memuliakan tetamunya.
(HR Tabrani)
Dari Ibn Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa berwudhuk walaupun dia masih suci
(memperbaharui wudhuk), dia akan mendapat sepuluh kebaikan. (HR Abu
Daud)
Dari Uqbah ibn Amir Al Juhaniy r.a meriwayatkan bahawa
baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa sahaja dari kalangan orang
Islam yang berwudhuk dengan sempurna kemudian mendirikan sembahyang dengan
penuh tawajuh yakni dia mengetahui apa yang dibacanya sehinggalah sembahyangnya
selesai, Allah akan mengampuni segala dosanya sebagaimana dia baru dilahirkan
dari perut ibunya. (HR Hakim)
Dari Uthman ibn Affan r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW
bersabda: Barangsiapa berwudhuk dengan sebaik-baik wudhuk, yakni
dengan menjaga sunat-sunatnya dan adab-adabnya, maka akan keluar dosa-dosanya
daripada badannya sehingga akan keluar daripada bawah-bawah kukunya.
(HR Muslim)
Dari Uqbah bin Amr r.a meriwayatkan bahawa baginda
Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang berwudhuk dengan
sempurna kemudian menuju ke masjid dan duduk menunggu untuk bersembahyang maka
malaikat yang mencatit kebaikan akan datang mencatit dimana setiap langkah dia
berjalan diganjari dengan sepuluh kebaikan. Orang yang duduk menunggu
sembahyang adalah seumpama orang yang beribadat. Semenjak dia keluar daripada
rumahnya sehinggalah dia kembali adalah dikira sebagai orang yang sibuk
bersembahyang. (Musnad Ahmad)
Dari Aishah r.ha meriwayatkan bahawa baginda Nabi SAW
bersabda: 2 rakaat sembahyang yang didirikan dengan bersugi gigi
adalah lebih baik daripada 70 rakaat sembahyang tanpa bersugi. (HR
Bazzar, Majma uz Zawaid)
Dari Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan bahawa baginda
Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa memberi azan selama dua
belas tahun, adalah wajib baginya syurga dan dituliskan baginya setiap kali
azan ialah sebanyak 60 kebaikan, dan setiap kali iqamat akan dituliskan baginya
30 kebaikan. (HR Al-Hakim)
Dari Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan bahawa baginda
Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT mengampuni dosa-dosa
seorang muazzin sejauh mana suaranya itu kedengaran. Dan setiap yang bernyawa
atau tidak bernyawa yang mendengar suara azannya memohon keampunan baginya, dan
di dalam satu riwayat yang lain setiap yang bernyawa atau tidak bernyawa
menjawab seruan azan yang didengarinya. (HR Ahmad)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Jikalau manusia mengetahui apa ganjaran azan dan berada di
saf yang pertama dan tidak ada jalan lain untuk memperolehi azan dan di saf
yang pertama kecuali dengan cara mengundi, nescaya mereka mengundi.
(HR Bukhari)
Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah
SAW bersabda: Pergi ke masjid di waktu pagi dan petang adalah
sebagai Jihad di Jalan Allah. (HR Tabrani)
Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah
SAW bersabda: Masjid ialah rumah bagi orang-orang yang bertakwa,
Allah SWT telah mengambil tanggungjawab ke atas mereka yang menjadikan masjid
sebagai rumahnya dengan: Aku akan memberi kerehatan dan rahmat kepadanya, Aku
akan mudahkan meniti titian Sirat untuknya, mendapat keredhaan Allah SWT dan
Aku akan mengurniakan syurga kepadanya. (HR Tabrani)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda
Rasulullah SAW bersabda: Orang yang sentiasa berulang-alik ke
masjid di dalam kegelapan malam mereka itulah orang yang hati sanubarinya
tenggelam di dalam rahmat Allah. (HR Ibn Majah)
Dari Abu Said Al-Khudri r.a meriwayatkan bahawa baginda
Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa mencintai masjid dia
akan dicintai oleh Allah. (HR Tabrani)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda
Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa pergi ke masjid di waktu
pagi dan petang Allah SWT akan menyiapkan hidangan sebagai tetamuNya di dalam
syurga. Setiap kali dia datang pagi atau petang dia akan dilayaniNya sebagai
tetamuNya. (HR Bukhari)
Dari Abu
Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Tempat yang paling dicintai Allah SWT diatas muka bumi ialah masjid dan
tempat yang paling dibenci ialah pasar-pasar. (HR Muslim)
Dari Abdullah bin Umar r.anhuma meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda: Lakukan solah seumpama solah
perpisahan (sebagaimana seorang yang akan berpisah yakni solah kamu yang
terakhir), dan seolah-olah kamu melihat Allah, dan sekiranya kamu tidak
melihatNya, sesungguhnya Dia melihat kamu. (HR Ibnu Najar dalam
Jami’us Saghir)
Dari Abdullah r.a berkata bahawa aku melihat Rasulullah SAW mengerjakan sembahyang, dan terdengar dari
dadanya suara seperti putaran batu gilingan kerana tangisannya. (HR Abu
Daud)
Dari Ibn Umar r.a berkata; Rasulullah SAW telah bersabda: Tidak sempurna iman bagi orang-orang yang tidak amanah dan tidak ada
sembahyang bagi orang-orang yang tidak ada wudhuk. Dan tidak ada agama bagi
orang-orang yang tidak sembahyang. Sesungguhnya kedudukan sembahyang didalam
agama, adalah seumpama kepala kepada badan. (HR Tabrani dan Targhib)
Dari Ummi Farwah r.ha berkata; Rasulullah SAW telah ditanya oleh seseorang, apakah amalan yang
terafdhal? Baginda menjawab: Sembahyang
di awal waktu.
(HR Abu Daud)
Dari Abu Zar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Perhatian Allah Taala kepada seseorang ketika sembahyang
itu akan kekal selagi mana dia bertawajuh di dalam sembahyangnya. Apabila
seorang hamba itu memalingkan tawajuhnya daripada sembahyangnya, maka Allah
juga akan memalingkan perhatianNya terhadapnya. (HR Nasai)
Dari Ubadah ibn Samit r.a sesungguhnya dia mendengar
Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang hamba yang selalu
bersujud kepada Allah, kecuali setiap sujud Allah mencatit satu kebaikan
baginya dan menghapuskan satu dosa dan mengangkat satu darjat. Maka perbanyakkanlah
sujud (kepada Allah dengan mengerjakan sembahyang). (HR Ibn Majah)
Daripada Ibnu Mas’ud r.a berkata: Demi Allah, di muka
bumi ini tiada sesuatu yang memerlukan sujud lebih lama melainkan lidah.
(at-Targhib, al-Mundziri)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Apabila imam membaca Ghairil maghdhuubi alaihim
waladhalliin, maka hendaklah kamu membaca amiin kerana sesungguhnya barangsiapa
yang aminnya menyamai dengan amiin para malaikat, maka akan diampunkan segala
dosa-dosanya yang lalu. (HR Bukhari)
Dari Abdullah ibn Umar r.a meriwayatkan; Satu hari Nabi SAW
bersabda tentang sembahyang bahawa: Barangsiapa menjaga sembahyang
fardhunya tepat pada waktunya, pada hari Kiamat nanti akan menjadi Nur kepada
orang yang mengerjakannya, menjadi penghujah bagi pihaknya dan menjadi
penyelamatnya. Sebaliknya tidak ada Nur, pembela dan penyelamat bagi orang yang
tidak menjaga sembahyangnya dan pada hari Kiamat mereka akan digolongkan
bersama Firaun, Haman dan Ubai bin Khalaf. (HR Ahmad dan Tabrani)
Dari Anas r.a menceritakan bahawa seorang wanita selalu membersihkan sampah-sampah di masjid telah
meninggal dunia. Baginda SAW telah diberitahu tentang kematiannya di waktu
pengkebumiannya. Baginda r.a datang lalu bersabda: Apabila meninggal dunia salah seorang daripada kamu
beritahulah aku. Lantas Nabi SAW menyembahyangi jenazahnya dan bersabda:
Sesungguhnya aku melihat dia
berada di dalam syurga kerana dia selalu membersihkan kotoran-kotoran di
masjid. (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)
Dari Buraidah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah
SAW bersabda: Berilah berita gembira kepada mereka yang pergi ke
masjid selalu di waktu gelap gelita dengan cahaya yang sempurna pada hari Hisab
nanti. (HR Abu Daud)
Dari Aisyah r.ha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Allah Taala menurunkan rahmat ke atas orang-orang yang
memenuhkan saf-saf yang kosong dan para malaikat memohon keampunan untuknya.
(HR Mustadrak Hakim)
Dari Abu Zar r.a berkata; Saya mendengar Rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa yang ruku’ dengan sekali ruku’ dan sujud dengan
sekali sujud, maka akan diangkatkan darjatnya satu darjat dan akan diampunkan
satu dosanya. (HR Musnad Ahmad, Bazzar, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
Dari Abdullah Ibnu Mas’ud r.a telah berkata bahawa ada seorang telah bertanya kepada Rasulullah
SAW: Apakah amalan yang paling afdhal? Baginda SAW telah menjawab: Menunaikan sembahyang pada waktunya,
berbakti kepada kedua ibubapa dan berjihad di jalan Allah SWT. (HR
Bukhari)
Dari
Abdullah bin Amr Ibn As r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Perintahkanlah anak-anakmu bersembahyang ketika berumur
tujuh tahun dan rotanilah dia jika tidak mahu bersembahyang ketika diumur
sepuluh tahun dan pisahkanlah diantara tempat tidur mereka (antara adik beradik
lelaki dan perempuannya). (HR Abu Daud)
Dari Umar ibn Al Khattab r.a meriwayatkan; Aku mendengar
Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT sangat
menyukai sembahyang secara berjemaah. (HR Musnad Ahmad)
Dari Barra ibn Azib r.a berkata; Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah Taala dan para malaikatNya menurunkan rahmat ke atas
orang-orang yang berada di saf hadapan iaitu saf yang paling hampir dan para
malaikat berdoa untuknya dan tidak ada satu langkah yang lebih dicintai oleh
Allah, daripada langkah orang yang memenuhkan saf yang kosong. (HR
Abu Daud)
Dari Abu
Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang memenuhkan saf-saf, Allah SWT akan meninggikan darjatnya
dan Para malaikat akan meliputi mereka dengan rahmat dan kebaikan.
(HR Tabrani, Targhib)
Hazrat Abu Umamah al Bahili r.anhu meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda: Kamu mesti melakukan solah tahajjud
kerana ia adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu dan ia mendekatkan
(kedudukan) kamu di sisi Tuhan kamu serta menghapuskan kejahatan dan mencegah
daripada melakukan dosa-dosa. (HR Mustadrak Al Hakim)
Dari Aisyah r.ha meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang istiqamah bersembahyang 12 rakaat, Allah akan membinakan
mahligai untuknya di dalam syurga. (12 rakaat itu ialah): 4 rakaat sebelum
zohor, 2 rakaat selepas Zohor, 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat selepas Isyak
dan 2 rakaat sebelum Subuh. (HR Nasa’i)
Dari Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Wahai ahli-ahli Al-Quran! Bersembahyang witirlah kamu, kerana
sesungguhnya Allah itu witir dan menyukai orang-orang yang sembahyang witir.
(HR Abu Daud)
Dari Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama, dan nur
bagi langit dan bumi. (HR Hakim)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda
Rasulullah SAW bersabda: Tiada sesuatu yang lebih mulia
disisi Allah selain daripada doa. (HR Tirmizi)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Allah SWT akan turun kelangit bumi pada dua pertiga
daripada malam dan bertanya: Siapakah orangnya yang berdoa kepadaKu nescaya Aku
akan perkenankan doanya. Dan siapakah orangnya yang meminta sesuatu akan Ku
beri permintaannya. Dan siapakah orangnya yang memohon pengampunan nescaya akan
Ku ampuni baginya. (HR Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda
Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa mahu supaya doanya
dikabulkan ketika dalam keadaan kesempitan atau kesusahan hendaklah dia banyak
berdoa ketika dalam kesenangan. (HR Tirmizi)
Dari Abu
Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW: Berdoalah kamu kepada
Allah dengan penuh yakin bahawa doa kamu diterima. Ketahuilah! Bahawasanya
Allah tidak akan menerima doa seseorang yang hatinya lalai (ketika berdoa).
Mengingati yang lain selain daripada Allah. (HR Tirmizi)
Dari Abdullah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah
SAW bersabda: Mintalah kepada Allah akan kurniaan-kurniaanNya.
Sesungguhnya Allah amat suka apabila diminta. Dan sebaik-baik ibadah ialah
memohon kelapangan. (HR Tirmizi)
Dari Naufal bin Mu’awiyah r.a meriwayatkan bahawa baginda
Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa terluput sembahyangnya
adalah seumpama dia kehilangan ahli keluarganya, hartanya dan segala
kekayaannya. (HR Ibn Hibban)
Dari
Abdullah ibn Qurtd r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Perkara pertama yang akan dihisab bagi seorang hamba pada hari Kiamat
ialah sembahyang. Sekiranya sembahyangnya baik, maka amalan-amalan yang lain
akan diterima dan jika sembahyangnya rosak, maka semua amalan-amalan yang lain
akan rosak. (HR Tabrani, Targhib)
Dari Abu Qatadah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah
SAW bersabda: Seburuk-buruk pencuri ialah mereka yang mencuri dalam
sembahyangnya. Para Sahabat bertanya: Ya Rasulullah bagaimana mereka
mencuri di dalam sembahyang? Baginda menjawab: Mereka yang tidak ruku dan sujud dengan sempurna (dalam
sembahyangnya). (HR Ahmad)
Dari Ibnu Abbas r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW datang kepada dua kubur dan
bersabda: Penghuni dari kedua
kubur ini sedang disiksa tetapi bukan kerana dosa besar (yang susah untuk
dihindari). Yang pertama kerana tidak menjaga dirinya dari percikan kencing dan
sebahagian yang lain disiksa kerana sentiasa memfitnah. (HR Bukhari)
Dari Ibnu Abbas r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah
SAW bersabda: Barangsiapa meninggalkan sembahyang dia akan bertemu
Allah dalam keadaan Allah sangat murka kepadanya. (HR Bazzar,
Tabrani)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Aku mahu untuk menyuruh beberapa orang pemuda mengumpulkan
seberkas kayu-kayu api dan pergi ke rumah orang-orang yang bersembahyang di
rumah masing-masing tanpa uzur syarie dan membakarnya. (HR Abu Daud)
Sumber: Kitab Muntakhab-Ahadith & Riyad Us Saliheen
Sumber: Kitab Muntakhab-Ahadith & Riyad Us Saliheen
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.