Pages

20140115

(4) IKRAM MUSLIMIN

Dari Abu Zar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda kepadanya: Lihatlah! Sesungguhnya kamu bukanlah dari orang yang terbaik disebabkan kamu berkulit putih tetapi kamu akan menjadi terbaik disebabkan takwa kepada Allah SWT. (HR Musnad Ahmad)

Dari Ubadah bin Samit r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Bukan daripada ummatku barangsiapa tidak menghormati orang yang lebih tua, tidak menunjukkan kasih sayang kepada orang yang lebih muda dan tidak memuliakan alim ulama. (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jikalau seseorang menghilangkan satu dari kesusahan seseorang di dunia ini, Allah akan menghilangkan satu kesusahan darinya pada hari akhirat. Dan jikalau seseorang menyembunyikan satu kesalahan seorang muslim, Allah SWT akan menyembunyikan kesalahan-kesalahannya di akhirat, Allah SWT akan tetap membantu seorang selagi dia membantu saudaranya. (HR Musnad Ahmad)

Dari Uthman bin Affan r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW apabila selesai mengkebumikan mayat akan berdiri ditepi perkuburan dan berkata berdoalah untuk saudara kamu ini, memohonlah supaya Allah meneguhkan hatinya (dalam menjawab soalan) kerana sekarang dia sedang ditanya. (HR Abu Daud)   

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang menyertai jenazah dan mengerjakan sembahyang jenazah akan mendapat pahala sama dengan satu qirat, dan barangsiapa yang menyertai jenazah sehingga ke kubur akan mendapat pahala sama dua qirat. Apabila ditanya, apa itu dua qirat. Rasulullah SAW menjawab: (Sama dengan) dua gunung yang besar. Dalam riwayat lain, bahawa dua gunung, yang paling kecil seperti gunung Uhud. (HR Muslim)

Dari Abu Malik Al-Ashari r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah bilik yang mana tembus pandangan, dari dalam boleh dilihat apa yang ada diluar dan dari luar dapat dilihat apa yang ada di dalam. Allah menyediakannya khas untuk mereka yang memberi makan kepada fakir miskin, menghamburkan salam, dan bersembahyang malam di mana manusia sedang nyenyak tidur. (HR Tabrani)

Dari Ali r.a meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang muslim mengunjungi seorang muslim yang sakit diwaktu pagi kecuali 70,000 malaikat berdoa memohon rahmat ke atasnya sehingga ke petang, atau berkunjung kepadanya di waktu petang, melainkan 70,000 malaikat berdoa ke atasnya sehingga ke pagi, dan dia mendapat sebuah kebun buah-buahan dalam syurga. (HR Tirmizi)

Dari Anas bin Abdul Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ketika aku diangkat (pada malam Mi’raj) ke langit, aku melintasi segolongan manusia yang tangannya berkuku tembaga dan mereka mencakar muka dan dada mereka. Aku bertanya kepada Jibrail: Siapakah mereka ini? Dia menjawab: Mereka selalu memakan daging manusia dengan memfitnah dan mengumpat orang. (HR Abu Daud)

Dari Abu Zar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Senyuman kepada saudaramu (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma’ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. (HR Tirmizi)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Jika seseorang telah berkata: Telah binasa manusia, maka dialah yang paling binasa diantara mereka (kerana dengan mengatakan demikian itu dia terjerumus di dalam dosa takabur disebabkan dia menganggap orang lain hina). (HR Muslim)

Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Mahukah daku khabarkan kepadamu sesuatu yang lebih baik daripada puasa, sembahyang dan sedekah? Para sahabat r.hum berkata: Bahkan ya Rasulullah! Baginda Rasulullah SAW bersabda: Bersatu (hati) adalah lebih baik kerana perselisihan dan perbalahan akan menghapuskan agama. (HR Tirmizi)

Dari Abu Said r.a dan Jabir bin Abdullah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Mengumpat adalah lebih buruk dari zina. Para sahabat r.hum bertanya; Wahai Rasulullah, bagaimana mengumpat itu lebih buruk dari zina? Baginda SAW menjawab: Seorang yang berzina boleh memohon ampun, maka Allah SWT mengampunkannya, tetapi orang yang diumpat, apabila dia tidak memaafkan orang yang mengumpat, maka pengumpat tetap berdosa. (HR Baihaqi)

Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Doa seorang muslim kepada saudaranya yang tidak hadir adalah makbul. Seorang malaikat berada dari arah kepalanya dan apabila dia berdoa untuk kebaikan saudaranya malaikat ini akan berkata amin dan (kepada orang yang berdoa, malaikat berkata) semoga engkau menerima serupa (apa yang engkau doakan untuk saudaramu). (HR Muslim)

Dari Muaz r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa menelan kemarahannya sedangkan dia berkuasa untuk membalas kemarahannya itu, maka pada hari kiamat kelak Allah akan memanggilnya dihadapan seluruh makhluk dan dia diberi peluang untuk memilih bidadari mana sahaja yang dia sukai. (HR Abu Daud)

Dari Asma binti Yazid r.ha berkata; Baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (di majlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah Taala akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka Jahanam. (HR Musnad Ahmad)


Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila seorang muslim menziarahi saudaranya yang sedang sakit, atau mengunjungi saudara muslim semata-mata kerana Allah, maka seorang malaikat berkata: Engkau dirahmati dan langkah-langkahmu diberkati dan engkau telah membina sebuah tempat tinggal di dalam syurga. (HR Tirmizi)

Dari Jabir r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik di antara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain. (HR Dar Qutni dan Targhib)

Dari Abdullah Ibn Mas'ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati. (HR Tirmizi)

Dari Ibnu ‘Abbas r.huma meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari di jalan Allah SWT akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit. (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Dari Tsauban r.a, seorang hamba yang dimerdekakan Rasulullah SAW meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang mengunjungi seorang yang sakit, dia akan diam di Khurfah dalam syurga. Ditanyakan; Wahai Rasulullah! Apa itu Khurfah? Rasulullah SAW bersabda: Buah-buahan yang dipetik dari syurga. (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sebatang pokok sering memberi kesusahan kepada (lalu lintas) orang-orang Islam, lalu datang seorang lelaki menebangnya. Allah memasukkannya ke dalam syurga. (HR Muslim)

Dari Huzaifah bin Yaman r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Apabila seorang mukmin bertemu dengan seorang mukmin yang lain, hendaklah dia memberi salam kepadanya dan berjabat tangan (untuk bersalam), dosa-dosa mereka berguguran seperti daun-daun berguguran dari pohonnya. (HR Tabrani, Majma uz Zawaid)

Hazrat Iyyadh bin Khimar r.anhu dari kabilah bani Mujashik meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT telah mewahyukan kepadaku supaya kamu semua berusaha mendapatkan sifat tawadhuk sehingga tidak akan wujud sifat bangga di antara satu sama lain dan tidak menzalimi orang lain. (HR Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Terdapat lima doa yang pasti diterima doanya: Doa seorang yang dizalimi selagi dia tidak mengambil tindak balas ke atas orang yang menzaliminya. Doa seorang Haji selagi dia belum kembali ke kampung halamannya. Doa seorang Mujahid selagi dia masih berada di perbatasan. Doa seorang yang sedang sakit sebelum sembuh. Doa seorang saudaranya yang lain dibelakangnya yang dilakukan secara sembunyi. Selanjutnya Baginda Rasulullah SAW bersabda: Diantara doa-doa tersebut yang paling cepat diterima ialah doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain secara tersembunyi. (HR Baihaqi)

Dari Haris bin Wahbin r.a berkata, aku mendengar nabi SAW bersabda: Tidakkah aku tunjukkan kepada kamu, siapakah ahli-ahli syurga? (Kemudian Nabi SAW sendiri bersabda): Tidakkah aku tunjukkan kepada kamu, siapakah ahli-ahli syurga? Mereka ialah setiap orang yang lemah yakni orang yang berlebih kurang apabila bermuamalah dengan orang lain, tidak keras hatinya, tawadhuk dan berhati lembut sehingga orang menyangka dia seorang yang lemah (hubungannya dengan Allah adalah) sekiranya dia bersumpah dengan nama Allah, nescaya sumpahnya ditunaikan. Dan tidakkah aku beritahu kepadamu siapakah ahli neraka. Kemudian Nabi SAW sendiri menjawab: Dia ialah seorang yang mengumpulkan harta tetapi bakhil, keras hati dan takabur. (HR Bukhari)

Dari Abdullah bin Umar r.huma meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Pada hari Kiamat kelak akan dihimpunkan sekalian manusia dan akan diseru kepada mereka: Dimanakah orang-orang fakir dan miskin dikalangan umat ini? Nabi bersabda: Mereka semua bangun dan dikatakan kepada mereka: Apakah yang kamu amalkan? Mereka akan menjawab: Wahai Allah! Engkau telah menguji kami (dengan kemiskinan) namun kami tetap bersabar. Engkau telah memberikan harta dan pemerintahan kepada orang selain daripada kami. Allah berfirman: Kamu bercakap benar! Rasulullah SAW bersabda: Lantas mereka dimasukkan ke dalam syurga terlebih dahulu daripada orang lain. Dan tinggallah mereka dengan penghisaban yang keras dikalangan orang-orang yang kaya dan para pemerintah. (HR Ibn Hibban)

Dari ‘Atta bin Abdullah Khurasani r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Berjabat tanganlah di antara kamu kerana ia akan menghapuskan kebencian dan berilah hadiah diantara satu sama lain kerana ia akan menimbulkan kasih sayang dan menjauhi permusuhan. (HR Muwatta’ Imam Malik)

Dari Abdullah bin Amr r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Seorang muslim adalah seorang yang tidak menyakiti muslim yang lain dengan lidah atau dengan tangannya dan seorang muhajir adalah seorang yang meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah. (HR Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ruh seorang mukmin akan tergantung (tidak sampai ke tempat yang penuh dengan kerehatan yang dijanjikan untuk orang-orang yang beriman) selagi hutang-hutangnya tidak dibayar. (HR Tirmizi)  

Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa mahu supaya rezekinya ditambah dan umurnya dipanjangkan, hendaklah dia menghubungkan silaturrahmi di antara saudara-saudaranya . (HR Bukhari)

Dari Muaz bin Jabal r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa memalukan saudaranya yang muslim dengan sesuatu dosa yang dia telah bertaubat dengannya, Allah tidak akan mematikannya sehinggalah dia sendiri terjerumus ke dalam dosa tersebut. (HR Tirmizi)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Alamat munafik itu ada tiga: Apabila bercakap dia bohong. Apabila berjanji dia tidak menepatinya dan apabila diberinya amanah dia khianat. (HR Muslim)

Dari Muhammad bin Amr bin Hazm r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Seorang mukmin yang menggembirakan dan menasihati supaya sabar kepada saudaranya yang mukmin yang dalam kesusahan, Allah SWT akan memakaikannya dengan pakaian kemuliaan pada hari penghisaban. (HR Ibnu Majah)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Tidak akan memasuki syurga bagi orang yang tidak memelihara jirannya dari kejahatannya. (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang hendak merasai kenikmatan iman, maka hendaklah dia mencintai orang Islam yang lain, semata-mata kerana Allah. (HR Musnad Ahmad, Bazzar dan Majma uz Zawaid)

Dari Jabir r.a berkata: Aku mendengar baginda Rasulullah SAW bersabda: Syaitan merasa kecewa kerana tidak dapat menukar akidah orang-orang semenanjung Arab tetapi tidak merasa kecewa untuk menyebarkan fitnah, perbalahan dan perpecahan dikalangan mereka. (HR Muslim)

Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Bermudah-mudahlah dengan orang ramai, dan jangan menyusah-nyusahkan mereka. Berilah berita-berita gembira dan jangan datangkan rasa benci. (HR Bukhari)

Dari Abu Darda meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Orang yang memohon laknat tidak akan diterima sebagai pemberi syafaat (bagi para pendosa) maupun sebagai saksi (atas dakwah para nabi Allah) pada hari kiamat. (HR Muslim)

Dari Abu Zar r.a meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang memanggil seorang sebagai: Hai si Kafir! atau Hai musuh Allah!, tetapi orang itu tidak sebagaimana yang dipanggil, maka ucapannya akan kembali kepada yang mengatakan demikian. (HR Muslim)

Dari Bara’ ibnu ‘Azib r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Riba yang paling buruk adalah mencemarkan seorang saudara (muslim) (supaya merosakkan kehormatannya dengan cara mengumpat, memandang rendah). (HR Tabrani dan Jami-us Saghir)

Dari Abdullah bin Umar r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Orang yang mencaci maki orang Islam adalah hampir kepada kehancuran dan membinasakan (dirinya). (HR Tabrani dan Jami-us Saghir)

Hazrat Anas r.anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa memelihara dua nak perempuan dengan baik, dia dan aku akan bersama di dalam syurga seperti dua anak jari ini. Sambil berkata demikian baginda mengisyaratkan (dengan merapatkan) dua anak jarinya. (HR Tirmizi)

Dari Muaz r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Di akhir zaman nanti akan wujud manusia yang pada luarannya adalah sahabat, akan tetapi pada dalamannya adalah musuh. Baginda telah ditanya orang. Ya Rasulullah! Mengapakah ini berlaku? Rasulullah SAW bersabda: Persahabatan secara luaran adalah kerana ada keperluan antara satu sama lain. Dan kerana ada permusuhan secara dalamanlah wujud rasa khuatir satu kepada yang lain. (HR Musnad Ahmad)

Dari Jabir r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Akan dipersembahkan amal-amal manusia pada hari Isnin dan hari Khamis. Barangsiapa yang memohon pengampunan maka akan diampuniNya pada hari itu, dan barangsiapa bertaubat akan diterima taubatnya (tetapi) orang yang ada sifat membenci atau berdendam akan ditinggalkan sehinggalah dia bertaubat daripadanya. (HR Tabrani, Targhib)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Setiap hari Isnin dan hari Khamis, amal-amal manusia akan dipersembahkan dihadapan Allah SWT dan Allah SWT akan mengampuni mereka pada hari itu bagi orang yang tidak mensyirikkan sesuatu dengan Allah, kecuali seorang yang memusuhi akan saudaranya (orang ini akan kecewa dari pengampunan Allah). (Malaikat) akan mengatakan kepadanya: Tinggalkanlah kedua orang ini sehingga kedua-duanya bermaaf-maafan, tinggalkanlah kedua orang ini sehingga kedua-duanya saling bermaaf-maafan. (HR Muslim)

Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Barangsiapa bersumpah palsu dengan sumpah palsu dan mengambil hak seorang muslim yang lain Allah akan mewajibkan baginya memasuki neraka Jahannam dan haram ke atasnya syurga. Seorang lelaki berkata: Ya Rasulullah SAW walaupun di atas satu benda yang remeh? Nabi SAW bersabda: Ya walaupun sebesar satu ranting dari pohon arak. (HR Muslim)

Dari ‘Iyaz bin ‘Imar r.a berkata, wahai Nabi Allah, seorang lelaki daripada kaumku telah mencaci dan memburuk-burukkanku sedangkan dia ialah seorang yang lebih rendah kedudukannya daripadaku. Bolehkah daku membalas balik akan caciannya itu? Nabi SAW bersabda: Apabila dua orang mencaci maki antara satu sama lain, adalah seumpama dua syaitan yang mana kedua-duanya mencaci maki dan berkata bohong antara satu sama lain. (HR Ibnu Hibban)

Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah dipinta untuk mendoakan keburukan kepada orang-orang Musyrik. Maka Baginda SAW telah bersabda: Aku tidak diutus sebagai seorang pelaknat, aku diutus hanya sebagai rahmat. (HR Muslim)

Dari Jabir r.a berkata bahawa para sahabat telah berkata: ya Rasulullah! Anak-anak panah khabilah Thaqif telah memusnahkan kita, Tuan doakan keburukan terhadap mereka. Baginda SAW bersabda: Ya Allah! Berilah hidayah kepada kabilah Thaqif! (HR Tirmizi)

Dari Abdullah bin ‘Amr bin ‘As r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa memberi makan saudaranya sehingga kenyang dan memberi minum sehingga hilang dahaga, maka Allah SWT akan menjauhkannya dari api neraka jahanam sejauh dua parit. Dan jarak antara dua khandak (parit) adalah sejauh perjalanan lima ratus tahun. (HR Hakim)

Dari Abu Bazah Aslami r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Wahai orang-orang yang hanya Islam dilidah dan belum beriman di dalam hati! Janganlah mengumpat orang-orang Islam dan janganlah sibuk mencari keburukannya. Barangsiapa yang sibuk mencari kesalahan orang Islam, Allah akan menzahirkan keburukannya sehingga di dalam rumahnya sendiri. (HR Abu Daud)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahmi yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau pun diam. (HR Bukhari)

Dari Ibnu ‘Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Bukanlah dari kalangan pengikut kami, yang tidak berkasih sayang kepada yang kecil dikalangan kami, yang tidak menghormati yang tua dikalangan kami, yang tidak menyuruh akan kebaikan, yang tidak melarang dari kejahatan. (HR Tirmizi)

Hazrat Anas r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Hanyasanya perkara-perkara yang membinasakan ialah sifat kikir yang dituruti, hawa nafsu yang dilayani dan orang yang menganggap dirinya baik. (HR Bazzar, Baihaqi, Targhib)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa memaafkan kesalahan saudaranya yang Islam, Alllah akan mengampuni dosa-dosanya pada hari Kiamat. (HR Ibn Hibban)

Dari Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Tiada satu tegukan yang ditelan oleh seorang hamba yang disukai oleh Allah daripada satu tegukan marah. Dia menelan kemarahan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. (HR Ahmad)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tahukah kamu apa itu memfitnah? Para sahabat r.hum berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda SAW bersabda: Memfitnah adalah mengatakan sesuatu tentang saudara (muslim) ketika dia tiada yang dia tidak suka. Ditanya: Wahai Rasulullah, jika kekurangan itu sungguh ada dalam diri seorang muslim, maka apa yang harus aku katakan? Baginda SAW menjawab: Jika apa yang dikatakan benar, maka itu adalah mengumpat (bahkan lebih buruk daripada memfitnah). (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Seorang yang kuat itu bukanlah orang yang dapat membalas pukulan lawannya tetapi seorang yang kuat itu ialah dia yang dapat mengawal diri dan perasaannya dengan baik ketika marah. (HR Bukhari)

Dari Abdullah bin Umar r.a berkata; telah bersabda Rasulullah SAW: Sembahlah Ar-Rahman, berilah makan dan sebarkanlah salam dan (melalui amalan-amalan ini) kamu akan memasuki syurga dengan kesejahteraan. (HR Tirmizi)

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud: Tahukah kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu? Lalu jawab sahabat: Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta? Lantas Baginda bersabda: Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat. Dia juga (dalam masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh), dan memukul orang. Lalu diberi segala kebajikan itu kepadanya dan ini adalah kebajikan-kebajikannya. Maka jika telah habis pahala kebajikannya sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti dan dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosanya itu akan dilemparkan kepadanya, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka. (HR Muslim)

Dari Abdullah bin Umar r.huma meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang menunaikan hajat saudaranya, Allah akan menunaikan segala hajatnya. (HR Abu Daud)

Dari Ibnu Umar r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jangan menyakiti orang-orang Islam, jangan mencela mereka dan jangan mencari keburukan mereka. (HR Ibnu Hibban)

Dari Abu Bakar Siddiq r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidak akan masuk syurga seorang penipu, bakhil dan orang yang mengungkit-ungkit pemberian. (HR Tirmizi)

Dari Jabir r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa luput daripadanya sifat lemah lembut dia adalah luput dari (segala) kebaikan. (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ditutupilah neraka dengan berbagai kesyahwatan - keinginan - dan ditutupilah syurga itu dengan berbagai hal yang tidak disenangi. (Muttafaq ‘alaih)

Dari Abdullah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Orang yang terlebih dahulu memberi salam akan terhindar dari sifat Takabbur. (HR Baihaqi)

Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah sempurna iman kamu sehingga kamu mencintai saudara kamu sebagaimana kamu mencintai diri kamu sendiri. (HR Bukhari)

Dari Harithah bin Nukman r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Memberi sesuatu dengan tangannya kepada orang miskin, menghindarkan daripada kematian yang buruk. (HR Tabrani, Baihaqi)

Dari Jabir bin Abdullah r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Memberi makan kepada orang Islam yang lapar adalah diantara amal yang wajib mendapat pengampunan. (HR Baihaqi)

Dari Aishah r.ha meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang sangat dibenci oleh Allah ialah orang yang suka bertengkar. (HR Muslim)

Dari Muaz bin Jabal r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Allah SWT memberi sepenuh perhatian kepada seluruh makhlukNya pada malam 15 Sya’ban dan mengampuni seluruh makhlukNya kecuali dua jenis manusia iaitu mereka yang melakukan syirik kepada Allah dan orang yang ada sifat membenci seseorang dalam hatinya. (HR Tabrani)

Dari Zaid bin Thabit r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda: Tiga perkara yang dengannya hati orang beriman akan suci dari sifat khianat, dengki (dan semua keburukan): 1. Beramal untuk redha Allah SWT, 2. Inginkan kebaikan untuk para pemimpin, 3. Sentiasa bersama dengan jemaah orang Islam. Ini kerana orang yang bersama-sama jemaah akan dilingkungi oleh doa ahli-ahli jemaah itu. (HR Ibnu Majah)

Dari Sahl bin Sa’ad r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Jika dunia ini mempunyai nilai sebesar kepak nyamuk sekalipun, maka Allah SWT tidak akan memberi minum kepada orang kafir walaupun seteguk air (oleh kerana dunia ini tidak bernilai walaupun sekadar ini, kerana itulah dunia ini diberi kepada orang-orang kafir dan orang-orang yang berdosa tanpa batasan. (HR Muslim)

Dari Abdullah bin Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga. (HR Muslim)

Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Tiga manusia adalah merupakan tanggungan Allah SWT jika mereka hidup, mereka akan diberi rezeki dan akan dibantu dalam pekerjaan yang mereka lakukan. Dan jika mereka meninggal dunia maka Allah SWT akan memasukkan mereka ke dalam syurga. Pertama ialah orang yang masuk kerumahnya lantas memberi salam, kedua orang yang pergi ke masjid, ketiga orang yang keluar dijalan Allah SWT. (HR Ibn Hibban)

Dari Abi Umamah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang paling hampir di sisi Allah ialah mereka yang terlebih dahulu memberi salam (diantara mereka). (HR Abu Daud)

Sumber: Kitab  Muntakhab-Ahadith & Riyad Us Saliheen

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.