Pages

20140113

(6) DAKWAH & TABLIGH



Dari Anas r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sepagi atau sepetang di jalan Allah SWT adalah lebih baik dari dunia dan segala isinya. (Mirqat)

Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Pada malam Isra’ aku telah lalu berhampiran satu golongan yang bibir-bibir mereka dipotong dengan sebilah gunting dari api neraka. Aku telah bertanya kepada Jibrail a.s siapakah mereka ini? Jibrail a.s menjawab: Mereka adalah juru nasihat yang selalu menyuruh orang lain berbuat baik dan melupakan diri sendiri, yakni dia sendiri tidak beramal. Padahal mereka membaca kitab Allah SWT. Tidakkah mereka faham. (HR Musnad Ahmad)

Dari Abdullah bin Umar r.a berkata bahawa aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: Bilamana kamu terlalu sibuk di dalam urusan jual beli, dan kamu memegang ekor lembu dan leka bercucuk tanam dan kamu meninggalkan jihad, maka Allah SWT akan menimpakan ke atas kamu kehinaan yang tidak akan terluput sehinggalh kamu kembali kepada ugamamu (yang berjihad itu adalah sebahagian darinya). (HR Abu Daud)

Dari ‘Amr bin ‘Auf r.a menukilkan sabdaan Baginda SAW bahawa: Agama pada mulanya adalah satu perkara yang asing (dagang), kelak tidak lama lagi ia akan kembali menjadi asing seperti mula dahulu. Kerana itu berita gembira bagi orang-orang Islam yang kerana agama mereka dianggap sebagai terasing, mereka itu ialah orang-orang yang membetulkan jalanKu yang telah dirosakkan orang-orang selepasKu. (HR Tirmizi)

Dari Abu Hurairah r.a bahawa aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: Perumpamaan orang yang keluar dijalan Allah SWT – dan Allahlah yang lebih mengetahui siapa yang berjihad dijalanNya – (untuk mendapatkan redhaNya) perumpamaannya adalah seperti dia yang berpuasa, beribadat pada waktu malam, tunduk dihadapan Allah SWT kerana takutkanNya, serta melakukan ruku’ dan sujud. (HR Nasa’i)

Dari ‘Ursi Ibni ’Amirah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Kerana kesalahan sebahagian manusia Allah tidak akan mengazab kesemua orang (yang tidak terlibat di dalam kesalahan itu). Akan tetapi Allah akan mengazab kesemua sekali, jika orang-orang yang taat walaupun mampu melarang mereka-mereka yang engkar. (HR Tabrani)

Dari Abu Said Al-Khudri r.a berkata: Aku mendengar bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa melihat kemungkaran hendaklah ia mencegahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu, hendaklah mencegahnya dengan lidahnya, dan sekiranya dia tidak mampu juga, hendaklah dia cegah (membenci) dalam hatinya dan ini ialah selemah-lemah iman. (HR Muslim)

Hazrat Suhail r.anhu berkata bahawa ia mendengar Rasulullah SAW bersabda: Berdirinya salah seorang dari kalian sesaat dijalan Allah SWT adalah lebih baik daripada segala amalan kebaikan yang dilakukan sepanjang hayat di keluarganya (rumahnya). (HR Tirmizi)

Dari Abu Umamah r.a berkata bahawa seorang telah bertanya: Ya Rasulullah! Izinkan aku untuk berkelana. Maka Rasulullah SAW telah bersabda: Kelana umatku ialah berjihad di jalan Allah SWT. (HR Abu Daud)

Dari Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Bagi setiap nabi ada cara rohbaniahnya (meninggalkan dunia dan keseronokannya). Rohbaniah umatku ialah berjihad di jalan Allah SWT. (HR Ahmad)

Dari Abdullah ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW dan keluarga baginda bermalam dalam keadaan perut yang kosong (kerana ketiadaan makanan) selama beberapa malam berturut-turut. Mereka tidak mempunyai makanan malam. Makanan mereka secara umumnya adalah roti barli. (HR Tirmizi)

Dari Abdullah bin Umar r.a berkata bahawa Rasulullah SAW memegang bahuku (untuk menarik perhatianku kepada perkara yang penting ini) lalu bersabda: Hiduplah kamu di dunia ini seperti musafir atau sebagai orang yang sedang melintasi jalan. (HR Bukhari)

Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah ditanya: Siapakah di antara orang beriman yang paling sempurna imannya? Baginda SAW telah bersabda: Di antara orang beriman yang paling sempurna imannya ialah dia yang berjihad di jalan Allah SWT dengan diri dan hartanya. Kedua dia yang tinggal di satu lembah menyembah Allah SWT dan dia menyelamatkan orang ramai dari kejahatannya. (HR Abu Daud)

Dari Abdullah Ibnu Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Kamu semua hari ini mendengar perkara-perkara keagamaan dariku, esok perkara-perkara ini didengari pula daripada kamu. Kemudian ia didengari pula dari orang-orang yang mendengarinya daripada kamu (kerana itu dengarlah dengan teliti dan sampaikanlah kepada orang-orang yang selepas kamu, supaya mereka dapat menyampaikan kepada orang-orang selepas mereka, dan urutan ini berterusan). (HR Abu Daud)

Dari Abdullah bin Umar r.a bahawa Rasulullah SAW telah menukilkan satu firman Allah SWT di dalam sebuah hadis qudsi: Mana-mana hambaku yang semata-mata mendapat redhaKu mereka keluar sebagai mujahid, maka Aku memberi jaminan bahawa Aku akan memulangkannya ke rumah dengan pahala dan harta rampasan, dan jika Aku memanggilnya kembali, maka Aku akan mengampunkannya, merahmatinya dan akan memasukkanya ke dalam syurga. (HR Ahmad)

Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah memerintahkan satu jemaah untuk keluar ke jalan Allah SWT, mereka telah bertanya: ya Rasulullah! Malam ini kami pergi atau pun tinggal di sini dan pergi esok pagi? Baginda SAW telah bersabda: Adakah kamu tidak ingin untuk bermalam di salah satu kebun dari kebun-kebun syuirga? Yakni bermalam di jalan Allah SWT adalah seperti bermalam di kebun-kebun syurga. (Sunan Kubra)

Dari Uthman bin ‘Affan r.a berkata bahawa aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: Sehari di jalan Allah SWT lebih baik dari seribu hari yang lain. (HR Nasa’i)

Dari Hind bin Abi Halab r.a ketika menceritakan peribadi Nabi SAW berkata bahawa Rasulullah SAW; (kerana umatnya) berterusan bersedih dan sentiasa berfikir, tidak langsung berasa tenang bila-bila masa pun. Baginda selalu diam dan tidak akan berbicara jika tidak perlu. (HR Tirmizi)

Dari ‘Ubadah bin Somit r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Berjihadlah di jalan Allah SWT kerana dia adalah merupakan satu pintu dari pintu-pintu syurga, dengannya Allah SWT menjauhkan rasa kerisauan dan kesedihan. Di dalam satu riwayat lain ada penambahan, pergilah berjihad, jauh atau dekat dan dirikanlah batasan-batasan pada orang-orang yang hampir dan pada orang-orang yang jauh. Dan berkenaan Allah SWT jangan terkesan dari cercaan sesiapa pun. (HR Mustadrak Hakim)

Dari Sahl bin Sa’ad r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Agama ini adalah satu khazanah kenikmatan. Khazanah-khazanah nikmat ini mempunyai anak-anak kunci. Berbahagialah hamba itu yang Allah telah menjadikannya kunci kebaikan (dan) penutup kejahatan. Yakni Allah telah menjadikannya asbab hidayat. Dan kebinasaanlah buat hamba yang Allah Ta’ala telah menjadikannya kunci kejahatan (dan) penutup kebaikan. Yakni menjadi punca kesesatan. (HR Ibn Majah)

Hadrat Durrah binti Abi Lahab r.a berkata bahawasanya Rasulullah SAW berada di atas mimbar lalu berdiri seorang lelaki dan bertanya: Ya Rasulullah! Siapakah orang yang terbaik dikalangan manusia? Baginda SAW bersabda: yang terbaik dikalangan manusia ialah orang yang paling banyak membaca Al-Quran, yang paling bertakwa, yang paling banyak menyuruh akan kebaikan dan melarang dari kemungkaran dan yang banyak menghubungkan silaturrahim. (Musnad Ahmad, Tabrani)

Dari Abdullah ibn Umar r.huma meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Hanya ada dua jenis manusia yang (dibolehkan) untuk dicemburui. Seorang yang telah Allah berikan kepadanya Al-Quran dan dia telah membacanya di waktu siang dan malam, dan seorang lagi yang mana Allah SWT berikan harta kekayaan dan dia telah membelanjakannya (di jalan Allah) siang dan malam. (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Perumpamaan orang yang keluar berjihad di jalan Allah SWT adalah seperti seseorang yang berpuasa dan membaca Al-Quran di dalam sembahyang sepanjang malam dan dia berterusan sibuk dengan berpuasa dan bersedekah sehingga mujahid di jalan Allah SWT itu pulang ke rumahnya. (HR Ibn Hibban)

Dari Abdullah bin Umar r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Barangsiapa yang sakit kepala dijalan Allah SWT dan berniat untuk mendapatkan pahala, maka segala dosanya yang terdahulu akan diampunkan. (HR Tabrani)

Dari Muawiyah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku adalah seorang utusan dan Allah yang memberi hidayah, dan aku hanyalah seorang yang membahagi-bahagi dan Allah adalah zat yang memberi. (HR Tabrani)

Dari Abu Umamah Bahili r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang mukanya telah berlumuran debu di jalan Allah SWT, pada hari kiamat nanti Allah SWT akan memelihara muka itu dari api neraka. Dan sesiapa yang kedua-dua belah kakinya telah berlumuran debu di jalan Allah SWT, Allah SWT akan memelihara kakinya dari api neraka. (HR Baihaqi)

Dari Hadrat Huzaifah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Apa sahaja kekurangan atau dosa yang berlaku pada seseorang dalam menunaikan hukum hakam yang berkaitan dengan isterinya, hartanya, anak-anaknya, atau jirannya akan dikaffarahkan oleh sembahyang, sedekah, amar-bilma’ruf dan nahi ‘anil-mungkarnya. (HR Bukhari)

Dari Abdullah r.a berkata: Seolah-olah aku sedang melihat Rasulullah SAW menceritakan peristiwa seorang nabi yang dipukul oleh kaumnya hingga berlumuran darah, beliau menyapu darah dari mukanya dan berkata: Wahai Allah! Ampunilah kaumku, kerana mereka tidak tahu. (Peristiwa seumpama ini berlaku kepada Nabi SAW sendiri ketika peperangan Uhud berlaku. (HR Bukhari)

Dari Arfajah bin Syurah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Tangan Allah di atas jemaah. Yakni pertolongan Allah yang khusus adalah bersama jemaah. Kerana ini, sesiapa yang berpisah dari jemaah, maka syaitan bersamanya dan sentiasa cuba menyesatkannya. (HR Nasa’i)

Dari Fadholah bin Ubaid r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Amalan yang paling menghampirkan seseorang itu kepada Allah SWT ialah jihad di jalan Allah. Dalam perkara penghampiran diri kepada Allah SWT tidak ada satu amalan pun yang hampir menyamai jihad. (HR Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: Berdiri sejenak di jalan Allah SWT adalah lebih baik dari beribadat pada malam lailatul Qadar di hadapan Hajar Aswad. (HR Ibn Hibban)

Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Barang siapa yang keluar dijalan Allah SWT walau untuk satu petang, maka sebanyak mana debu yang melekat padanya, dia akan diberi kasturi sebanyak itu dihari kiamat nanti. (HR Ibnu Majah)

Dari ‘Amr bin Abasah r.a meriwayatkan bahawa dia bertanya iman apakah yang lebih afdhal? Baginda SAW menjawab: Iman yang mana disertai dengan hijrah. Beliau bertanya: Apakah hijrah itu? Baginda SAW menjawab: Hijrah daripada meninggalkan kejahatan. (HR Musnad Ahmad)

Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Barang siapa yang datang berjumpa Allah SWT dalam keadaan tubuh badannya tidak mempunyai langsung tanda berjihad, maka dia akan bertemu Allah SWT dalam keadaan dirinya yakni agamanya ada cacat cela. (HR Abu Daud)

Dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Akan datang dari umatku pada hari Kiamat nanti dimana cahaya mereka seperti cahaya matahari. Kami bertanya: Siapakah mereka itu wahai Rasulullah SAW? Nabi SAW menjawab: Mereka itu ialah muhajirin yang miskin. Yang berada teguh dalam kerja-kerja yang sukar dibarisan hadapan. Apabila mereka mati keinginan mereka turut terpendam didalam dadanya. Mereka dihimpunkan dari segenap penjuru bumi ini. (HR Musnad Ahmad)

Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Kerana (mendakwahkan) agama, aku telah ditakut-takutkan yang mana tidak ada seorang pun yang ditakut-takutkan seperti itu, dan aku telah disakiti hingga tiada siapa yang disakiti seperti ini. Telah berlalu tiga puluh malam dan tiga puluh siang berturut-turut dalam keadaan tidak ada makanan sedikit pun yang boleh dimakan oleh benda bernyawa kecuali kadar yang boleh disembunyikan oleh ketiak Bilal. Yakni kadar yang terlalu sedikit. (HR Tirmizi)

Dari Zaid bin Khalid Juhani r.a meriwayatkan bahawa Rasullullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang menyiapkan kelengkapan orang yang menunaikan haji atau orang yang keluar di jalan Allah SWT atau pun mengambil berat tentang ahli keluarga mereka selepas pemergian mereka, atau menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, maka dia akan mendapat pahala sama seperti orang yang keluar di jalan Allah yang pergi mengerjakan haji dan orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikit pun pahala mereka. (HR Baihaqi)

Dari Abu Umamah Al-Bahiliy r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang berpuasa sehari di jalan Allah maka Allah akan meletakkan diantaranya dan neraka satu pemidang yang besarnya adalah jarak diantara bumi dan langit. (HR Tirmizi)

Dari Uthman bin Affan r.a berkata bahawa akau mendengar Rasulullah SAW bersabda: Berkawal satu malam di jalan Allah SWT adalah lebih baik dari seribu malam yang dihabiskan waktu malam itu dengan berdiri beribadat dan siangnya dihabisi dengan berpuasa. (HR Musnad Ahmad)

Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tempat meletak busar panah seorang dari kamu dan tempat pemijak kaki dari syurga adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya dan jika salah seorang daripada wanita-wanita (bidadari) syurga muncul ke bumi nescaya akan bercahaya-cahaya daripada syurga hingga ke bumi dan akan dipenuhi keduanya dengan bau yang harum dan selendang atau tudungnya lebih bernilai daripada dunia dan seisinya. (HR Bukhari)

 Dari Abu Tsabit, dalam suatu riwayat lain disebutkan Abu Said dan dalam riwayat lain pula disebutkan Abulwalid, iaitu Sahl bin Hanif r.a, dan dia pernah menyaksikan peperangan Badar, bahawasanya Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang memohonkan kepada Allah SWT supaya dimatikan syahid dan permohonannya itu dengan secara yang sebenar-benarnya, maka Allah akan menyampaikan orang itu ke tingkat orang-orang yang mati syahid, sekalipun ia mati di atas tempat tidurnya. (Riwayat Muslim)

Hadhrat Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang telah mengatakan dengan lidahnya suatu perkara yg benar, yang diamalkan selepas itu, maka Allah SWT akan menjalankan pahalanya sehingga Kiamat, dan di hari kiamat nanti Allah SWT akan menganugerahkan pahala yang sempurna. (HR Musnad Ahmad)

Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang menunjuk sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seseorang dalam kesukaran.  (HR Bazzar dan Targhib)

Diriwayatkan daripada Hadhrat Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang menyeru kearah hidayah dan pekerjaan yang baik, dia akan mendapat pahala sama banyak dengan pahala orang-orang yang mengikutnya. Dan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang-orang yang mengikutinya. Begitu juga, sesiapa yang menyeru kejalan kesesatan, dia akan mendapat dosa sepertimana dosa orang-orang yang mengikuti kesesatan itu. Dan kerananya tidaklah berkurangan dosa orang-orang yang mengikutinya itu. (HR Muslim)

Dari Muaz bin Jabal r.a meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah SAW meriwayatkan sebuah hadith qudsi: Allah Azza waJalla berfirman:  Orang-orang yang mencintai satu sama lain kerana kebesaran dan kemuliaanKu akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada hari kiamat, (bahkan) nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada mereka. (HR Tirmizi)

Dari Zainab binti Jahsh r.ha berkata bahawa aku telah bertanya kepada Rasulullah SAW: Ya Rasulullah!, Adakah kami akan binasa, walaupun didalam lingkungan kami masih ada orang-orang yang soleh? Baginda SAW telah bersabda: Ya!, jika kejahatan berleluasa. (HR Bukhari)

Sumber: Kitab  Muntakhab-Ahadith & Riyad Us Saliheen

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.