Hazrat Abdullah bin Qais Al Khuza’i r.a meriwayatkan
bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa berdiri dengan penuh
perasaan riak dan sum’ah (suka dipuji-puji), dia sentiasa di dalam kemurkaan
Allah SWT sehingga dia duduk (dan meninggalkan niatnya itu). (Tafsir
Ibnu Kathir)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah
SAW telah bersabda: Sejahat-jahat manusia ialah
seseorang yang merosakkan akhiratnya kerana dunia orang lain. Yakni demi untuk
memberi manfaat dunia kepada orang lain, dia merosakkan akhiratnya dengan
melakukan perkara yang memurkakan Allah SWT. (HR Baihaqi)
Dari Abdullah bin ‘Amr
r.huma berkata; Aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang memasyhurkan amalannya kepada manusia, maka Allah SWT akan
menyampaikan kepada pendengaran makhlukNya akan amalan riya’ ini (dan bahawa
orang ini adalah seorang yang riya’) dan Allah akan mengecilkannya pada
pandangan makhluk dan menghinakannya. (HR Tabrani, Majma uz Zawaid)
Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya Allah
Ta’ala tidak melihat rupa paras dan harta-harta kamu, Akan tetapi Allah Ta’ala
melihat hati kamu dan amalan-amalan kamu. (HR Muslim)
Dari Zaid bin Thabit r.a berkata: saya telah
mendengar Rasulullah SAW bersabda: Jika matlamat seseorang itu
adalah dunia maka Allah SWT akan memporak perandakan urusannya. Yakni Allah SWT
akan menyusahkannya di dalam segala urusan (rasa khuatirkan) kemiskinan
terbayang-bayang dihadapan matanya, dan dia akan mendapat dunia hanya sekadar
apa yang telah ditakdirkan untuknya. Dan sesiapa yang niatnya adalah akhirat,
maka Allah SWT akan memudahkan urusannya dan Allah SWT akan menjadikan hatinya
kaya, dan dunia akan datang dalam keadaan hina kepadanya. (HR Ibnu
Majah)
Dari Syaddad bin Aus r.a berkata: Aku telah mendengar
Rasulullah SAW bersabda; Sesiapa bersembahyang untuk
menunjuk-nunjuk, dia telah melakukan syirik. Sesiapa yang berpuasa untuk
menunjuk-nunjuk, dia telah melakukan syirik. Sesiapa yang bersedekah untuk
menunjuk-nunjuk, dia telah melakukan syirik. (HR Musnad Ahmad)
Dari Abu Hurairah r.a berkata meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang untuk menghasilkan
dunia telah mempelajari suatu ilmu yang sepatutnya dipelajari untuk mendapatkan
redha Allah SWT, dia pada hari Kiamat nanti tidak akan mencium walaupun bau
syurga. (HR Abu Daud)
Dari Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
telah bersabda: Dua serigala kelaparan yang dilepaskan pada satu
kumpulan kambing tidak mampu memudaratkannya lebih dari kemudharatan pada Agama
yang dilakukan oleh sifat tamakkan harta dan keinginan untuk menjadi orang yang
berpengaruh. (HR Tirmizi)
Dari Thauban r.a meriwayatkan bahawa aku telah
mendengar Rasulullah SAW bersabda: Berbahagialah orang-orang yang
ikhlas. Mereka adalah pelita di dalam gelap dan kerana mereka terpadam
fitnah-fitnah yang besar. (HR Baihaqi)
Dari Umar bin Khattab r.a meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW telah bersabda: Yang paling aku takutkan
terhadap ummatku ialah si munafiq (orang fasiq yang riya’) yang pandai pada
lidah (bercakap perkara-perkara keilmuan tetapi dirinya kosong dari iman dan
amal). (HR Baihaqi)
Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa mencintai seseorang kerana Allah, dan membenci kerana Allah
SWT, memberi kerana Allah SWT dan menarik pemberian juga kerana Allah SWT, maka
sesungguhnya dia telah menyempurnakan imannya. (HR Abu Daud)
Dari Saad r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda: Allah SWT memberi pertolongan kepada umat ini (bukan berdasarkan kepada
keupayaan bahkan) Allah SWT memberinya pertolongan kerana do’a-do’a,
sembahyang-sembahyang dan keikhlasan orang-orang yang lemah. (HR
Nasa’i)
Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang mencari dunia untuk berbangga-bangga ke atas orang lain,
untuk menjadi kaya atau untuk mendapat nama – walaupun dengan cara yang halal –
dia akan bertemu Allah SWT dalam keadaan Allah SWT akan sangat murka
terhadapnya. Dan sesiapa yang mencari dunia dengan cara yang halal bertujuan
supaya dia tidak perlu meminta-minta kepada orang lain, untuk mencari rezeki
kepada ahli keluarga dan supaya dia mampu melakukan kebajikan kepada jiran
tetangga; maka pada Hari Kiamat dia akan bertemu Allah SWT dalam keadaan
wajahnya bercahaya seperti bulan purnama. (HR Baihaqi)
Dari Abu Umamah r.a menukilkan sabdaan Rasulullah SAW; Bersedekah secara sembunyi memadamkan kemurkaan Allah SWT.
(HR Tabrani, Majma uz Zawaid)
Dari Abu Sa’id r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah keluar (dari kamar Baginda lalu) datang kepada
kami. Pada waktu itu kami sedang membincangkan tentang Masih Dajjal. Baginda
SAW telah bersabda: Mahukah
aku khabarkan kepada kamu sesuatu yang pada pendapatku lebih berbahaya bagi
kamu berbanding Dajjal? Kami berkata: Ya Rasulullah! Khabarkanlah kepada
kami. Baginda SAW telah bersabda: Ia adalah syirik khofi. (yang contohnya ialah): Seseorang berdiri untuk
sembahyang dan dia memperbaguskan sembahyangnya kerana ada orang yang
memerhatikannya bersembahyang. (HR Ibnu Majah)
Dari Muaz bin Jabbal r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah
bersabda: Mana-mana hamba yang membuat amalan kebajikan untuk
kemasyhuran dan untuk menunjuk-nunjuk, maka Allah Ta’ala akan memasyhurkan
perkara ini di hadapan semua makhluk di Hari Kiamat nanti, (bahawa orang ini
mengerjakan amalan kebajikan untuk menunjuk yang kerananya dia mendapat
kehinaan). (HR Tabrani, Majma uz Zawaid)
Dari Abu Umamah Al-Bahiliy r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Dari amalan-amalan; Allah SWT hanya akan menerima amalan-amalan yang
dilakukan ikhlas semata-mata untukNya dan yang bertujuan untuk mendapatkan
redhaNya sahaja. (HR Nasa’i)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah
bersabda: Hendaklah kamu meminta perlindungan dari Jubbul-Hazan.
Sahabah r.hum telah bertanya: Apakah Jubbul-Hazan itu? Nabi SAW telah bersabda:
Ia adalah satu lembah di
neraka yang neraka sendiri meminta perlindungan darinya sebanyak seratus kali
setiap hari. Rasulullah SAW ditanya: Siapakah yang akan memasukinya?
Nabi SAW telah bersabda: Pembaca-pembaca
Al-Quran yang melakukan amalan mereka itu untuk menunjuk-nunjuk. (HR Tirmizi)
Dari Abu Firas rahmatullah ‘alaih (seorang dari Kabilah Aslam) telah
berkata: seorang telah berseru dan
bertanya: ya Rasulullah! Apa itu iman? Nabi SAW bersabda: Iman itu ialah ikhlas.
(HR Baihaqi)
Hazrat Abu Said bin Abu Fadhalah Al Ansari r.anhu yang merupakan salah
seorang sahabat berkata, daku dengar Rasulullah SAW bersabda: Tatkala Allah Ta’ala menghimpunkan manusia pada hari Kiamat iaitu pada
hari yang tiada keraguan mengenainya, berserulah satu penyeru: Barangsiapa yang
menyengutukan di dalam amalannya sesuatu dengan Allah SWT, maka mintalah
pahalanya daripada selain Allah SWT. Ini kerana Allah SWT Maha Kaya yang tidak
memerlukan perkongsian sesiapa pun. (HR Tirmizi)
Dari Abdullah bin Umar r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ditanya, siapakah yang paling
mulia di antara manusia? Baginda SAW menjawab: Setiap orang yang hatinya Makhmum dan lidahnya jujur.
Sahabat r,hum bertanya; Kami tahu seorang yang lidahnya jujur, tetapi apa yang
dimaksudkan dengan hati Makhmum? Baginda SAW menjawab: Makhmum ialah orang Muttaqin (menjauhkan diri dari
keburukan kerana takut kepada Allah) dan bersih hatinya, bebas dari segala dosa
dan kesalahan, tidak mempunyai sedikit pun perasaan dengki atau irihati padanya. (HR Ibnu Majah)
Sumber:
Kitab Muntakhab-Ahadith & Riyad Us Saliheen
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.