Pages

20130402

Hadis - Janggut


Dari Jabir bin Samurah r.a. katanya: "Rambut Nabi saw. kelihatan bercampur putih di kepala bahagian muka dan di janggut beliau, tetapi apabila telah beliau minyaki tidak nyata kelihatan. Apabila rambut beliau kusut barulah jelas kelihatan. dan janggut beliau tebal." Lalu bertanya seseorang. "Apakah wajah beliau seperti pedang?" Jawab Jabir. "Tidak! Bahkan bundar seperti matahari dan bulan. Dan aku melihat sebuah cap di bahunya kira-kira sebesar telur merpati." Dia serupa dengan warna tubuh beliau." (Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2163).

Dari Ya'la bin Umayyah, dari bapanya r.a., katanya: "Seorang lelaki mendatangi Rasulullah saw. di Ja'ranah, ketika beliau sedang umrah. Janggut dan rambut lelaki itu dicatnya kuning (pakai pacar) dan dia memakai jubah. Lalu dia bertanya kepada Rasulullah saw., "Bolehkah aku umrah dalam keadaan dan pakaianku seperti sekarang?" Jawab Rasulullah saw., "Tanggalkan jubahmu, cuci cat janggut dan rambutmu. Lalu apa yang diperbuat dalam haji lakukan pula dalam umrah." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1148).

Mewartakan kepada kami Isma'il bin 'Abdullah Ar-Riqqiy; mewartakan kepada kami Muhammad bin Rabi'ah Al-Kilabiy mewartakan kepada kami Washil bin As-Sa-ib Ar-Raqasyiy, dari Abu Saurah, dari Abu Ayyub Al-Anshariy, dia berkata: 'Aku melihat Nabi Saw. berwuduk, dan mensela-selai janggutnya." Dalam Az-Zawa-id: Isnad hadis ini daif, kerana kesepakatan mereka atas daifnya Abu Saurah dan Wahil Ar-Raqasyiy.  (Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 1. Hadis Nombor 0433).

Dari Anas bin Malik R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W. apabila berwuduk, beliau mengambil sesauk air dengan tapak tangannya, lalu dimasukkannya di bahagian bawah dagu, kemudian disisirkannya kepada janggut beliau dan bersabda: "Begitulah Tuhanku S.W.T. memerintahkan kepada aku!" (Hadis Sunan Abu-Daud Jilid 1. Hadis Nombor 0132).

Dari Abu Hurairah r.a, katanya: Saya mendengar Rasulullah saw. berkata: "Potonglah kumis dan panjangkanlah janggut!" (Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1684).

Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Jangan menyamai orang-orang musyrik, potonglah misaimu, dan rawatlah janggut." (Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0204).

Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Apabila Rasulullah saw. hendak melakukan ihram, beliau memakai harum-haruman terbaik yang ada pada kami, sehingga kelihatan olehku kemilau minyak di rambut dan janggut beliau sesudah itu."  (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1158).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.