Pages

20130407

Hadis - Jubah (4)

Dari Abu Bakhtary dari Abu Sa'id Al-Khudry berkata: "Ada seorang dari Bahrain datang kepada Rasulullah saw. Sesampainya didepan pintu, dia mengucapkan salam, tetapi tidak ada yang menjawabnya; kerana ketika itu dia sedang memakai cincin emas dijarinya dan jubah dari sutera, maka dia melemparkan keduanya. Setelah itu, dia mengucapkan salami lagi, maka Rasulullah menjawabnya. Dia bertanya: "Wahai Rasulullah, tadi aku datang kepada engkau, tetapi mengapa engkau berpaling dariku?" Jawab beliau: "Dikeranakan dijarimu ada bara api neraka." Dia berkata: "Kalau begitu, bererti aku telah datang dengan membawa bara api yang banyak". Sabda Rasulullah: "Sesungguhnya apa yang kamu bawa tadi tidak lebih baik daripada batu yang ada dibukit batu di Madinah. Tetapi kesenangan hidup itu dunia." Tanya orang itu: "Lalu cincin dari apa yang boleh dipakai?" Jawab beliau: "Cincin dari besi, atau perak atau kuningan". (Hadis Sunan An-Nasai Jilid 5. Hadis Nombor 5051).

Dari Aun ibnu Abu Juhaifah dari Abu Juhaifah berkata; "Kami pernah bersama Rasulullah saw di kampung Al-Batha Mekah ketika itu beliau memakai jubah yang berwarna merah; bersama beliau orang-orang yang menempuh perjalanan ke Madinah. Ketika datang waktu solat Bilal datang kepada beliau dan menyerukan azan, sambil menghadapkan mulutnya ke kiri dan ke kanan." (Hadis Sunan An-Nasai Jilid 5. Hadis Nombor 5223).

Dari 'Abdullah bin Zaid Al Anshari r.a., katanya: "Nabi saw. pergi ke mushalla hendak solat 'istisqa (minta hujan). Sebelum mendoa lebih dahulu beliau menghadap ke kiblat dan membalikkan jubahnya." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0847).

Dari Syaddad ibnul Hadi dikatakan bahawasanya, ada seorang Arab dusun datang pada Nabi untuk menyatakan keislamannya. Setelah menyatakan keislamannya, maka dia menyatakan untuk ikut berhijrah bersama beliau ke Madinah. Nabi saw berpesan pada sebahagian sahabatnya untuk memberikan tempat tinggal dan santunan pada si Arab dusun tersebut. Ketika terjadi suatu peperangan, maka si Arab dusun itu ikut keluar bersama pasukan Islam. Ketika kaum muslimin mendapatkan kemenangan dan mendapatkan sejumlah harta rampasan perang, maka Nabi membahagi harta rampasan perang tersebut pada sahabat-sahabatnya termasuk si Arab dusun itu. Ketika diberikan padanya bahagian dari harta rampasan perang itu, maka dia bertanya: "Harta apa ini?" Jawab para sahabat: "Ini adalah bahagianmu yang dibahagikan oleh Nabi saw dari harta rampasan perang". Setelah diterimanya, maka dia membawa bahagiannya tersebut kehadapan Nabi saw seraya berkata: "Aku mengikutmu tidak dikeranakan mengharapkan harta rampasan perang. Yang kuharap hanyalah aku terkena panah disebelah sini seraya mengisyaratkan kearah lehernya, kemudian aku mati di jalan Allah sehingga aku dapat dimasukkan kedalam syurga". Sabda Nabi saw: "Jika kamu benar-benar ikhlas dengan apa yang engkau ucapkan, pasti Allah akan mewujudkan cita-citamu". Tidak lama setelah kejadian itu, Arab dusun itu terbunuh di medan perang. Ketika jenazahnya dibawa kehadapan Nabi saw, maka Nabi bertanya: "Apakah yang mati ini adalah si Arab dusun tersebut?" Jawab para sahabat: "Ya". Maka Nabi saw bersabda: "Si Arab dusun ini benar-benar ikhlas didalam niatnya, sehingga Allah mewujudkan cita-citanya." Kemudian Nabi saw mengkafani jenazah si Arab dusun itu dengan jubah beliau dan disolatkan oleh beliau. Dalam solat jenazahnya itu beliau berdoa: "Ya Allah, sesungguhnya hamba-Mu ini sengaja berhijrah di jalan-Mu dan dia gugur sebagai syahid dan aku telah menyaksikannya." (Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 1923).

Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Kami berjalan bersama-sama dengan Rasulullah saw. antara Mekah dan Madinah, melalui sebuah lembah. Nabi saw. bertanya, "Lembah apa ini?" Jawab para sahabat, "Lembah Azraq." Sabda Nabi saw., "Aku seperti ternampak Musa a.s. (Nabi menyebutkan warna kulit Nabi Musa, rambutnya, yang kesemuanya tidak hafal oleh Dawud yang menyampaikan hadis ini). Dia meletakkan dua buah anak jarinya di kedua telinganya, sedang meninggikan suara membaca talbiyah, ketika dia melalui lembah ini. Kata Ibnu 'Abbas selanjutnya, "Kami terus berjalan hingga sampai ke suatu puncak, lalu Nabi saw. bertanya: "Puncak apa ini?" Jawab para sahabat, "Puncak Harsya' atau puncak Laft'." Kata Nabi saw., "Aku seolah-olah menampak Yunus sedang mengenderai unta merah. Dia memakai jubah bulu, tali kekang untanya dari serat-serat serabut. Dia melalui lembah sambil membaca talbiyah. (Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0139).

Mewartakan kepada kami Abu Bisyr, Bakr bin Khalaf mewartakan kepada kami Ibnu Abu 'Adiy, dari Dawud bin Abu Hind, dari Abul-'Aliyah, dari Ibnu 'Abbas, dia berkata: Kami bersama Rasulullah saw. diantara Mekah dan Madinah, lalu kami melalui sebuah lembah, beliau bertanya: "Lembah apa ini?" Mereka menjawab: "Lemah biru". Beliau berkata: "Seakan-akan aku melihat Musa saw. (beliau menceritakan sedikit, tentang rambut Nabi Musa yang panjang, namun Dawud tidak mengingatnya) meletakkan dua ujung jarinya di telinganya, dan memohon kepada Allah dengan suara yang tinggi dengan ucapan talbiyah, melalui lembah ini. ibnu 'Abbas. melanjutkan: Kemudian kami berjalan sampai pada sebuah Tsaniyyah". Beliau bertanya: "Tsaniyyah apa ini.". Mereka menjawab: "Tsaniyyah Harsya atau Lifa". Beliau berkata: "Seakan-akan aku melihat Yunus, mengenderai unta merah, dan mengenakan jubah dari bulu domba. Dan tali kekang untanya adalah serabut tipis yang kuat, melalui lembah ini dengan mengucapkan talbiyah". Keterangan: Talbiyah ialah bacaan: Labbaik AUahumma labbalk labbaik laa syariika laka labbaik innaal-hamda wan-ni'mata laka wal-mulka lae. syariika laka. Tsaniyah ialah jalan mendaki di atas gunung. (Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 3. Hadis Nombor 2891).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.