Pages

20130406

Hadis - Jubah (3)

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Apabila kamu solat malam, hendaklah kamu kuasai bacaan Qur'an yang kamu baca. Bila kamu sudah tidak mengerti apa yang kamu baca, tidurlah dahulu." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0759). 

Dari Al Bara' r.a. katanya: "Bahwasanya Nabi saw. apabila beliau hendak tidur beliau membaca doa: "Allahumma bismika ahyaa wa bismika amutu. (Dengan nama Mu aku hidup dan dengan nama Mu aku mati) Dan bila beliau bangun beliau membaca:"Alhamdulillahiilladzi ahyaana ba'da maa amaatana wa itaihinnusyuur" (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan dan kepadaNya tempat kembali)" (Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2333).

Dari Anas r.a. katanya: "Bahawasanya Rasulullah saw. apabila hendak merebahkan tubuhnya ke tempat tidur, beliau menyebut: Alhamdulillahilladzi ath'amanaa wa saqaanaa wa kafaanaa wa aawaanaa." ( Segala puji bagi Allah yang telah memberi kita makan dan minum, mencukupkan segala kesenangan kita, dan memberi kita tinggal)" (Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2337).

Dari Al Aswad dari Aisyah berkata: "Rasulullah saw. bersabda: "Tiga orang yang dosanya tidak akan dicatat oleh Allah, iaitu: 1. Orang yang tidur hingga ia bangun. 2. Anak kecil hingga ia baligh. 3. Orang gila hingga ia sadar/sembuh. (Hadis Sunan An-Nasai Jilid 3. Hadis Nombor 3290).

Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya Nabi saw. bersabda: "Jangan tidur telentang dengan meletakkan kaki yang sebelah ke atas yang lain (tanpa pakaian dalam sehingga aurat terbuka)." (Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1987).

Dari Abi Rafi dari Abi Hurairah katanya: Bahawasanya Rasulullah saw pernah bersabda: "Jika salah seorang telah meniduri isterinya dan diapun melakukannya dengan sungguh-sungguh, maka dia diwajibkan untuk mandi." (Hadis Sunan An-Nasai Jilid 1. Hadis Nombor 0189).

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila seorang laki-laki mengajak isterinya tidur, sedang perempuan tidak mahu, lalu laki-laki tadi semalam itu dalam keadaan marah, malaikat melaknati perempuan itu sampai pagi". (Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1439).

Dari 'Abdullah r.a., katanya :"Diceritakan orang kepada Rasulullah saw., seorang laki-laki yang tidur sepanjang malam sampai Subuh. Maka bersabda Nabi. saw., "Orang itu telah dikencing syaitan kedua telinganya." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0746).

Dari Abu Qatadah katanya: "Rasulullah saw pernah bersabda: "Sesungguhnya tidur tidak akan membawa dosa bagi seseorang. Yang membawa dosa itu adalah seorang yang sengaja mengakhirkan solat hingga tiba waktu solat lain, sedang dia dalam keadaan terjaga." (Hadis Sunan An-Nasai Jilid 1. Hadis Nombor 0601).

Umar bin Khathab r.a. mengatakan kepada Nabi saw. pada suatu malam bahawa ia junub. Kata Rasulullah kepadanya: "Berwuduklah, dan basuh kemaluanmu, sesudah itu tidurlah!" (Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0184).

Dari Hudzaifah katanya: "Biasanya jika bangun dari tidur di malam hari, maka Rasulullah saw menggosok giginya dengan siwak". (Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 1596).

Dari Jabir r.a, katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Malam hari kalau kamu tidur, padamkanlah lampu, kuncilah pintu, tutup tempat simpanan air dan simpanlah makanan dan minuman!" (Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1731).

Dari Abi Razin dan Abi Shalih dari Abi Hurairah dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda: "Apabila seseorang di antara kamu bangun (tidur) di malam hari, maka janganlah memasukkan tangannya ke dalam bejana air sebelum dicucinya tiga kali; sebab dia tidak tahu, di manakah tangannya tinggal semalam". Hadis ini juga dikeluarkan oleh Muslim. (Hadis Sunan Abu-Daud Jilid 1. Hadis Nombor 0092).

Dari Abu Salim r.a, dari Nabi saw, beliau bersabda: "Kalau kamu tidur, jangan dibiarkan api menyala dalam rumahmu!" (Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1730).

Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Apabila Nabi saw. bangun tengah malam, maka setelah beliau selesai buang hajat, beliau cuci muka dan tangannya, sesudah itu barulah beliau tidur. " (Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0252).

Mewartakan kepada kami Abu Marwan Al-'Utsmaniy, dia berkata: Mewartakan kepada kami 'Abdul-'Aziz bin Abu Hazim, dari Al'Ala-bin 'Abdur-Rahman, dari ayahnya, dari Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah saw. bersabda: "Barangsiapa yang melihat aku dalam tidur, maka sungguh dia telah melihatku. Sebab sesungguhnya Syaitan tidak akan dapat menyamai aku". (Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 4. Hadis Nombor 3901).

Maksudnya : "Hannad menceritakan kepada kami, Abul Ahwas memberitahukan kepada kami dari Laits dari Abi Zubair dari Jabir dari Nabi SAW seperti hadis di atas." Sesungguhnya Nabi SAW tidak tidur kecuali setelah membaca Alif Laam Miim Tanzil dan Tabaarakal Ladzi Biyadihil Mulku". (Hadis Sunan At-Termizi Jilid 4. Hadis Nombor 3055).

Dari Amr bin Syu'aib dari ayahnya, dari datuknya *. dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda: "Suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat, sedang mereka berumur tujuh tahun. Dan pukullah mereka kerana meninggalkannya, sedang mereka berumur sepuluh tahun. Dan pisahlah di antara mereka itu dari tempat tidurnya." * Amr bin Syu'aib bin Muhammad bin Abdullah bin Amr bin Ash R.A. adalah seorang ahli jujur dipercaya. Dia meninggal tahun 118 Hijriyah Taqribut Tahdzib II, 72. (Hadis Sunan Abu-Daud Jilid 1. Hadis Nombor 0465).

Dari Al-Aswad dari Aisyah r.a. katanya: "Biasanya Nabi s.a.w. jika hendak makan atau hendak tidur maka beliau berwuduk lebih dahulu, bila beliau sedang junub.'' (Hadis Sunan An-Nasai Jilid 1. Hadis Nombor 0255).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.