Dari Abu
Hurairah r.a. katanya: Sesungguhnya kamu
mengemukakan bahawa Abu Hurairah terlampau banyak meriwayatkan hadis dari
Rasulullah saw. sedang Allah memberikan ancaman (kepada orang-orang yang
membuat hadis palsu). Sesungguhnya saya ini seorang miskin yang tetap mengikuti
Rasulullah saw. dengan perut kenyang. Kaum Muhajirin sibuk jual beli di
pasar-pasar, sedang kaum Ansar sibuk mengurus harta mereka. Saya hadir dekat Rasulullah
saw. pada suatu hari dan beliau berkata: "Siapakah yang hendak
mengembangkan cadarnya sampai selesai ucapanku. sesudah itu dilipatnya, maka
dia tiada akan lupa sedikit pun apa yang didengarnya dari aku." Lalu jubah yang saya pakai saya kembangkan. Demi Allah
yang mengutus beliau membawa kebenaran, saya tidak lupa sedikit pun apa yang
saya dengar dari beliau. (Hadis
Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1977).
Dari Anas r.a.,
katanya: Ada orang menghadiahkan jubah sutera kepada Nabi s.a.w. padahal beliau
melarang memakai sutera. Orang banyak hairan kerananya. Beliau lalu bersabda:
"Demi Tuhan yang diri Muhammad di tanganNya. Sesungguhnya sapu tangan Saad
bin Muaz dalam syurga lebih bagus dari ini" (Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1445).
Dari Ibnu
Shihab dari Salim dari ayahnya katanya ketika Umar Ibnu Khaththab melihat ada
sehelai baju sutera tebal yang dijual di pasar, maka dia membelinya dan segera
dibawa ke hadapan Rasulullah saw. Kata Umar: "Wahai Rasulullah aku beli baju ini untukmu, agar dapat engkau
pakai ketika menghadiri solat ied dan ketika menerima para utusan dari
luar". Sabda beliau: "Wahai Umar sesungguhnya yang pantas untuk
memakai pakaian sutera semacam ini hanyalah mereka yang tidak akan mendapatkan
kesenangan di akhirat kelak". Tidak lama setelah itu, maka Rasulullah saw
mengirimkan sebuah jubah dari kain sutera
kepada Umar setelah diterimanya, maka Umar membawa kain itu kepada Rasulullah
saw seraya berkata "Wahai Rasulullah, tadinya ketika aku menghadiahi
engkau kain sutera, maka engkau mengatakan bahawa kain ini tidak pantas
dipakai, kecuali hanya bagi orang-orang yang tidak akan mendapatkan kesenangan
di akhirat. Sedangkan engkau sendiri mengirimi kain tersebut bagaimana
maksudmu?" Sabda beliau: "Aku mengirimi engkau kain ini bukannya
untuk engkau pakai, tetapi aku ingin agar kain ini engkau jual sehingga wangnya
dapat kamu pakai untuk keperluanmu yang lain." (Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 1534).
Yusuf bin Isa menceritakan kepada kami, Waki'
menceritakan kepada kami, Yunus bin Abi Ishaq dari Asy Sya'bi bin Urwah bin Al
Mughirah bin Syu'bah dari ayahnya bahawasanya Rasulullah memakai pakaian jubah dari Rumawi yang sempit kedua lengannya". hadis ini adalah hasan sahih. (Hadis Sunan At-Termizi Jilid 3. Hadis Nombor
1824).
Dari Abu
Hurairah r.a., dari Nabi saw.. sabdanya: "Perumpamaan
orang yang suka bersedekah (dermawan) bagaikan orang yang memakai dua jubah atau dua perisai di atas kedua susunya hingga
ke atas. Bila dia ingin bersedekah, maka dilakukannya dengan penuh kemurahan.
Dan bila orang bakhil ingin bersedekah, baju besi itu terasa sempit baginya dan
setiap lingkarannya terasa seperti menjepit jari-jarinya sehingga keinginannya
untuk bersedekah menjadi hilang sama sekali. Kemudian, dia berusaha
melapangkannya kembali, tetapi dia tidak berhasil." (Hadis Sahih Muslim
Jilid 2. Hadis Nombor 0977).
Dari Abdullah
bin 'Amr r.a., katanya: Dalam tanggungan
rumah tangga Nabi s.a.w. ada seorang laki-laki bernama Kirkirah. Ia mati dan
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ia di dalam neraka!" Orang banyak pergi
melihatnya. Mereka itu mendapatkan jubah (baju)
yang didapat dari penggelapan (ghulul). (Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1383).
Dari 'Aisyah
r.a., katanya: "Ada orang-orang
yang bergiliran datang ke Jumaat dari rumah-rumah mereka di pegunungan. Mereka
datang pakai jubah penuh debu, sehingga mereka
berbau (kurang sedap). Beberapa orang di antara mereka mendatangi Rasulullah
saw., yang ketika itu beliau berada di dekatku. Rasulullah bersabda kepada
mereka. "Alangkah baiknya kalau pada hari ini anda mandi yang
bersih." (Hadis Sahih Muslim
Jilid 2. Hadis Nombor 0799).
Dari Ibnu 'Umar
r.a. katanya : "Ketika 'Abdullah
bin Ubay bin Salul wafat, anaknya Abdullah bin Abdullah (bin Ubay) datang
kepada Rasulullah saw. meminta jubah beliau
untuk kafan bapanya. Rasulullah memenuhi permintaan anaknya itu. Kemudian
dimintanya pula supaya Rasulullah saw. menyolatkan jenazah bapanya. Ketika
beliau berdiri hendak solat jenazah, maka ditarik baju beliau oleh 'Umar (bin
Khaththab) seraya berkata, "Ya, Rasulullah! Akan Anda solatkankah dia?
Bukankah Allah telah melarang Anda menyolatkannya." Jawab beliau,
"Aku diberi pilihan oleh Allah Ta'ala menyolatkan atau tidak. Lalu
dibacanya ayat, "Kamu mohonkan ampun bagi mereka atau tidak kamu mohonkan
ampun bagi mereka (adalah sama saja); sekalipun bagi mereka tujuh puluh kali
(Taubah, 9:80). Dan aku akan melebihi dari tujuh puluh kali." Kata 'Umar,
"Dia munafik!" Tetapi Rasulullah saw. menyolatkannya juga. Kemudian
Allah Ta'ala menurunkan ayat: "Dan sekali-kali janganlah kamu solatkan
jenazah salah seorang mereka yang mati, dan jangan pula kamu berdiri di
kuburnya.."(At Taubah, 9:84) (Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2379).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.