Pages

20130405

Hadis - Jubah (1)

Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a., katanya: "Pada suatu ketika, sedang kami duduk-duduk bersama Rasulullah saw., tiba-tiba datang kepada beliau seorang lelaki Ansar memberi salam. Ketika dia hendak berlalu, dia ditanya oleh Rasulullah saw., "Hai, saudara Ansar! Bagaimanakah sakitnya saudara ku Sa'ad bin 'Ubadah?" Jawab orang itu, "Dia baik, ya Rasulullah." Sabda Rasulullah saw., "Siapakah di antara anda semua yang mahu ikut menjenguknya?" Lalu beliau berdiri, dan kami berdiri pula semuanya. Kami berjumlah lebih dari sepuluh orang. Semuanya tanpa terompah, tanpa kasut, tanpa kopiah, dan tanpa qamish (jubah dalam). Kami berjalan kaki di tanah gersang hingga sampai ke rumah Sa'ad. Orang-orang yang mengelilingi Sa'ad menghindar, memberi kesempatan kepada Nabi saw. dan para sahabat yang baru datang bersama-sama dengan beliau untuk mendekat kepada Sa'ad." Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0872.

Dari Jabir bin Samurah r.a., katanya: "Aku melihat Ma'iz bin Malik ketika dia datang kepada Nabi saw. Kelihatan olehku dia seorang yang pendek betisnya, tidak memakai jubah atau cadar, lalu dia mengakui sampai empat kali bahawa dirinya berbuat zina. Maka berkata Rasulullah saw. kepadanya, "Ah, masa! Tak mungkin engkau berzina. Hanya sekadar ciuman saja barangkali?" Tetapi lelaki itu memperkuat pengakuan dengan sumpah, bahawa dia memang telah melakukan zina. Kata Jabir selanjutnya, "Kemudian Rasulullah saw. memerintahkan supaya lelaki itu dihukum rejam." Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1676.

Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Rasulullah saw. dikapani dengan tiga lapis kain putih dari katun, tidak termasuk di dalamnya jubah dan serban. Orang ragu-ragu untuk memakaikan sepasang pakaian yang dibeli untuk kapan beliau, lalu ditinggalkan saja, dan beliau hanya dikapani dengan tiga lapis kain putih dari kapas. Sedang pasang pakaian yang telah disediakan tadi diambil oleh 'Abdullah bin Abu Bakar; katanya akan disimpannya untuk kapannya sendiri. Kemudian kata Abdullah, "Kalau Allah redha untuk kapan NabiNya, tentu telah dikapankan kepadanya." Akhirnya baju itu dijual oleh 'Abdullah, sedang wangnya disedekahkannya. Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0892.

Dari Abdurrahman bin Abi Bakar Ai Mulaiki dia berkata: Jabir bin Abdullah R.A. pernah mengimami kami dengan memakai gamis tanpa jubah. Setelah selesai dia berkata: "Sesungguhnya aku pernah melihat Rasulullah S.A.W. mengerjakan solat dengan memakai sehelai gamis". Al Mulaiki, hadisnya tidak dapat dibuat hujah, dia dinisbatkan kepada datuknya Abu Malaikah, Zuhair bin Abdillah bin Jud'an Al Qurasyi At Taimi. Hadis Sunan Abu-Daud Jilid 1. Hadis Nombor 0604.

Dari Saib bin Yazid r.a. katanya: Dimasa Rasulullah saw. dibawa kepada kami orang yang meminum minuman yang memabuk dan dimasa pemerintahan Abu Bakar dan permulaan pemerintahan Umar. Kami berdiri memukul orang itu dengan tangan, terompah dan jubah kami. Tetapi di akhir pemerintahan Umar, dipukulnya orang minum itu empat puluh kali. Dan setelah melampaui batas dan bertambah jahatnya dipukulnya lapan puluh kali. Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1805.

Dari Abu Juhaifah, dari bapanya, katanya: "Aku mendatangi Nabi saw. di Mekah, ketika itu beliau berada di Abthah, dalam jubah merah terbuat dari kulit. Tiba-tiba Bilal datang membawakan air wuduk untuk beliau. Dari sisa air itu ada orang yang mendapatkannya dan ada pula yang hanya mendapat percikannya saja. Kemudian Nabi saw. keluar memakai pakaian merah. Seolah-olah masih kelihatan olehku bagaimana putihnya betis Nabi. Ketika Nabi saw. wuduk, Bilal azan. Aku mengikuti gerak-gerik mulut Bilal berseru ke kanan dan ke kiri mengucapkan "Hayya 'alash shalah, hayya 'alal falah". Kemudian, Bilal memasakkan sebuah tongkat berujung besi, lalu Nabi saw. maju ke depan mengimami solat qasar Zohor dan Asar, masing-masing dua rakaat. Ketika Nabi sedang solat, keldai dan anjing lewat di balik tongkat itu, tetapi Nabi saw. tidak mencegahnya. Selama dalam perjalanan itu Nabi sentiasa solat qasar dua-dua rakaat hingga tiba kembali di Madinah." Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0454.

Dari Qatadah dari Anas ra berkata: "Pakaian yang paling disukai oleh Rasulullah saw ialah jubah dari bahan kotan." Hadis Sunan An-Nasai Jilid 5. Hadis Nombor 5160.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.